"Roti putih bukan musuh kita" – Pakar dietetik ulas amalan diet ikut trend
ROTI putih sering dianggap sebagai makanan perlu dielakkan khususnya dalam kalangan individu yang sedang menjaga pemakanan atau menjalani diet.
Malah, ramai beranggapan roti putih adalah kurang sihat berbanding pilihan lain seperti roti sourdough mahupun oatmeal.
Seorang wanita di Threads, Farah Hanani Amir Hamzah yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang dietetik tampil menjelaskan bahawa roti putih bukanlah musuh manusia seperti yang sering diperkatakan.
Menerusi perkongsiannya, dia menegaskan bahawa pengambilan roti putih tidak perlu dibimbangi dan boleh diambil dalam diet harian.
"Saya belajar dietetik selama tiga tahun di universiti dan setahun di hospital dan fasiliti kesihatan.
"Kemudian, selama 14 tahun mengajar di universiti dan fasiliti kesihatan.
"Saya mempunyai lebih daripada kelayakan yang mencukupi untuk memberitahu semua bahawa roti putih bukanlah musuh awak," tulisnya.

Menjelaskan perkara itu di ruangan komen, wanita berkenaan berkata roti putih tidak menjadi masalah untuk dinikmati dan boleh diambil bersama sumber protein dan serat bagi membantu merendahkan indeks glisemik (GI) hidangan.
Pengambilannya bagaimanapun perlulah mengikut saiz hidangan yang bersesuaian dan tidak berlebihan.
Kongsinya lagi, di turut menjelaskan bahawa masalah perut kembung selepas makan roti bukan hanya berkaitan gluten tetapi terdapat satu lagi bahan dalam gandum yang boleh menjadi puncanya iaitu fructans (sejenis serat yang sukar dihadam sepenuhnya)
"Tapi kenapa bila saya makan roti perut kembung? Sebab gluten ke? Asyik gluten saja jadi watak jahat dah kenapa?
"Sini saya perkenalkan watak baru iaitu fructans dalam gandum. Ramai orang Asia ada masalah untuk hadam fructans sebab tu bila makan roti akan jadi penghasilan gas.
"Kalau ikut ranking kandungan fructans dalam roti, pertama adalah roti wholemeal (paling tinggi), roti putih (sederhana) dan roti sourdough (paling rendah).
"Kenapa coach awak tak sebut pun mengenai fructans? Sebab yang dietitian itu saya bukan dia," tulisnya.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian warganet yang bersetuju bahawa diet sepatutnya diamalkan secara sederhana dan bukannya dengan menyekat pengambilan makanan tertentu secara keterlaluan.
"Betullah apa yang dia cakap. Sekarang ini ramai sangat yang ditakut-takutkan dengan roti putih lebih-lebih lagi apabila ada yang mula menjual sourdough. Bersederhanalah. Minum air putih memang bagus tetapi kalau sampai lima gelen mampuslah.
"Terima kasih! Rumah ini memang tidak pernah putus stok roti putih. Itu sahajalah makanan paling mudah untuk diberikan kepada anak-anak yang asyik lapar, lega sangat dengar perkara ini," antara komen netizen.
MENARIK DIBACA: Gardenia sahkan produk patuhi piawaian keselamatan makanan
MENARIK DIBACA: Banyak khasiat minum air rebusan daun kari, mampu rawat buasir dan cegah bau badan... Tambah halia lagi umphh!
Netizen lain pula berpendapat pengambilan satu hingga dua keping roti dalam satu hidangan masih boleh diterima berbanding mengambilnya secara berlebihan.
"Kesimpulannya kena berpada-pada ketika makan. Setakat satu atau dua keping sekali makan boleh sahajakan? Janganlah sampai membelasah sebungkus terus dalam satu masa," tulisnya.
Malah, ada yang turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu takut untuk menikmati roti putih kerana perkara paling penting ialah keseimbangan dalam pemakanan.
"Roti putih bukan musuh kita. Jangan takut nak makan roti. Semuanya tentang keseimbangan bukan halangan," tulis seorang lagi warganet.

Terdapat juga yang tampil menjelaskan bahawa roti putih lebih baik diambil bersama protein dan serat berbanding dimakan dengan sapuan jem manis.
"Roti putih bagus kalau makan dengan protien dan fiber sahaja. Tapi ramai suka makan dengan jem manis dan cecah Milo," komen netizen.
Tidak kurang juga warganet yang mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan nasihat pemakanan daripada pakar dietetik atau nutrisi bukannya sekadar mengikut saranan fitness coach yang kini dilihat banyak muncul di media sosial.
"Ikut dietician atau nutritionist bukan coach! Coach la sangat tetiba datang celah mana. Jangan anggap sijil sebagai Certified Fitness Coach secara automatik melayakkan seseorang memberikan nasihat pemakanan secara profesional, membuat penilaian nutrisi terperinci atau mengendalikan diet berkaitan masalah kesihatan.
"Pengalaman peribadi tidak sama dengan kelayakan profesional. Sijil kecergasan juga tidak sama dengan kelayakan dietetik atau nutrisi.
"Please normalize ikut dietitian fasal pemakanan. Jangan ikut orang ramai atau coach diet," komen beberapa lagi netizen.
