Rahsia di sebalik wangi daun pandan, ada 'kuasa’ kawal gula dalam darah - Pakar
PENGGUNAAN daun pandan dalam masakan cukup sinonim dengan masyarakat tempatan, khususnya untuk menaikkan aroma nasi, kuih muih dan minuman.
Di sebalik kegunaannya dalam masakan, daun pandan turut mendapat perhatian kerana potensi manfaatnya terhadap kesihatan termasuk dikaitkan dengan kawalan paras gula dalam darah.
Pakar Psikologi Klinikal, Datuk Dr Rizal Abu Bakar menerusi satu hantaran di Threads berkongsi mengenai potensi daun pandan dalam membantu memperlahankan proses pemecahan karbohidrat kepada gula ringkas.
“Selalu lepas makan rasa mengantuk? Macam tak boleh bincang lagi. Ini tandanya 'blood sugar' mendadak naik atau 'sugar spike'.

“Tahu tak, ada satu bahan kat dapur selalu kita guna untuk wangikan nasi, rupanya ada ‘kuasa rahsia’ untuk 'control' gula ni? Namanya daun pandan!” kongsinya lanjut.
Menurut beliau, usus manusia mempunyai enzim dikenali sebagai 'alpha-glucosidase' yang membantu memecahkan karbohidrat kepada gula ringkas supaya dapat diserap badan.
Jelasnya, ekstrak daun pandan berpotensi menghalang aktiviti enzim berkenaan sekali gus memperlahankan proses pemecahan karbohidrat dan penyerapan gula.
“Ekstrak daun pandan akan ‘block’ kerja enzim tadi. Sejurus disekat, proses penukaran dan penyerapan gula dalam badan jadi perlahan.
“Gula tak sempat nak melonjak naik tinggi selepas makan. Jadi, lepas ni kalau masak nasi, boleh buat teh daun pandan suam tanpa gula. Minum,” katanya.
MENARIK DIBACA: Banyak khasiat minum air rebusan daun kari, mampu rawat buasir dan cegah bau badan... Tambah halia lagi umphh!
MENARIK DIBACA: Amal minum air cengkih dan bawang putih... Badan rasa ringan, lebih bertenaga
Beliau turut mencadangkan orang ramai mencuba teh daun pandan tanpa gula sebagai alternatif minuman, selain menekankan bahawa aroma tumbuhan itu menjadikannya pilihan yang menarik untuk dinikmati.
Hantaran tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial yang turut berkongsi pengalaman ahli keluarga masing-masing menggunakan bahan semula jadi dalam masakan harian.

“100 peratus setuju. Ibu saya jika di rumah nasi putih sentiasa ada bahan tambahan. Pandan untuk kurangkan kandungan gula, bunga telang berpotensi menjadi sumber antioksidan semula jadi dan kunyit mengandungi kurkumin yang bertindak sebagai agen antioksidan. Begitulah kehidupan dengan seorang saintis.
“Patutlah orang dulu-dulu suka letak daun pandan bila masak nasi putih. Mak saya masih masak nasi putih letak daun pandan. Ingatkan sekadar untuk wangi dan melazatkan nasi," antara komen netizen.
Orang ramai yang ingin mengawal paras gula dalam darah bagaimanapun disarankan mengutamakan pemakanan seimbang, mengawal saiz hidangan karbohidrat dan melakukan aktiviti fizikal secara berkala.
Daun pandan boleh digunakan sebagai bahan masakan atau minuman, tetapi tidak seharusnya menggantikan ubat atau rawatan yang diberikan oleh doktor.
Ekstrak daun pandan menunjukkan potensi menghalang aktiviti enzim tertentu dalam kajian awal, tetapi manfaatnya terhadap kawalan gula dalam darah manusia masih memerlukan kajian lanjut.
Begitu juga air rebusan daun pandan tanpa gula boleh dijadikan pilihan minuman, tetapi tidak boleh menggantikan rawatan atau ubat bagi individu yang mempunyai masalah paras gula dalam darah.
