Masak guna air rebusan tulang gandakan nutrisi nasi! Lebih sedap, bayi pasti berselera
SEBAGAI ibu bapa, pastinya khasiat makanan anak antara perkara yang diberi perhatian setiap kali menyediakan hidangan.
Nasi misalnya menjadi sumber karbohidrat yang membekalkan tenaga untuk anak-anak menjalani aktiviti harian dan diperlukan untuk proses tumbesaran.
Tahukah anda, ada cara mudah untuk menambah rasa pada nasi selain menjadikannya lebih berkhasiat dengan menggunakan bahan lain ketika memasak.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, dia mengikut nasihat pakar yang mencadangkan air rebusan tulang ayam atau daging digunakan untuk memasak nasi bayi.

"Lepas dengar Dr Adli cakap rebus tulang ayam atau daging kemudian guna air rebusan tu masak nasi untuk baby, memang saya borong banyak rangka ayam.
"Lepas rebus, saya simpan dalam peti sejuk beku. Senang nanti nak masak nasi, tinggal guna air rebusan sahaja," katanya.
Bukan sahaja mudah, nasi yang dimasak juga terasa lebih sedap seakan-akan nasi ayam.
MENARIK DIBACA: Nasi ayam boleh dimasak tanpa air rebusan... Banyak cara alternatif, enak macam resipi biasa
MENARIK DIBACA: Jangan buang air rebusan ikan! Wanita kongsi cara buat kolagen untuk kucing, boleh ganti 'wetfood'
"Sup tu rasa ayamnya umpama kita letak chicken stock. Nasi pula macam nasi ayam dengan minyak daripada rebusan ayam tu," katanya.
Perkongsian itu mencuri perhatian netizen, malah ramai dalam kalangan ibu bapa yang mengaku sudah lama mengamalkan petua berkenaan.
"Bone narrow pun molek juga dengan air rebusan tulang lembu tu, saya ada tengok sebab bagi antibodi baby lagi kuat.
"Yes. I made this recipe when my son started his solid. Sedap and penuh nutrien," antara komen netizen

Air rebusan tulang ayam dan daging turut mengandungi beberapa nutrien berikut:-
- Protein. Air rebusan boleh menyumbang sedikit protein yang diperlukan untuk pertumbuhan serta pembaikan tisu badan.
- Gelatin dan kolagen. Merebus tulang bersama tisu penghubung boleh menghasilkan gelatin daripada kolagen yang merupakan sejenis protein.
- Mineral. Air rebusan juga boleh mengandungi mineral seperti kalsium, fosforus dan magnesium, namun jumlahnya bergantung pada cara penyediaan.
- Menambahkan selera makan. Rasa semula jadi ayam dan daging menjadikan nasi lebih sedap serta beraroma tanpa perlu menambah stok kiub atau perasa tambahan.
