Kapal cruise patuh syariah pertama di Malaysia beroperasi 29 Nov, saji hidangan halal bertaraf 5 bintang
MENIKMATI pengalaman menaiki kapal cruise mewah sememangnya menjadi impian ramai apatah lagi jika disajikan bersama makanan bertaraf lima bintang sambil menghirup bayu laut menenangkan.
Bayangkan bersantai di atas dek kapal dan menghayati panorama lautan luas memang kedengaran cukup mengujakan.
Namun buat pelancong Muslim, pengalaman itu sering menjadi cabaran kerana kebanyakan kapal persiaran terkenal dengan hidangan tidak mempunyai status halal dan sajian alkohol.
Kini anda tak perlu bimbang! Malaysia bakal memperkenalkan kapal persiaran 'mesra Muslim' pertama yang akan memulakan pelayaran di Pelabuhan Klang bermula 29 November ini.

Inisiatif ini bukan sekadar memberi peluang kepada pelancong Muslim menikmati pelayaran serantau tanpa rasa was-was tetapi memperkukuh pelancongan 'mesra Muslim' serta membina reputasi sebagai hab pelayaran utama Asia Tenggara.
Menariknya, kakitangan kapal turut dilatih dalam aspek kepekaan budaya dan mengikut keperluan Muslim.
Antara tarikan utama makanan di kapal mewah ini ialah itik panggang gaya Hong Kong yang pasti membangkitkan selera setiap pengunjung.
MENARIK DIBACA: Si manja tunjuk minat makanan pepejal, ibu-ibu boleh beri 5 makanan ini bantu bayi belajar kunyah
MENARIK DIBACA: Sentuh sikit pun rasa mencucuk, pesakit saraf kena jauhi 5 sayuran ini atau gejalanya makin parah
Malah penumpang juga boleh menikmati pelbagai pilihan tanpa alkohol serta aktiviti mesra keluarga yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Lebih istimewa, selain menawarkan sajian halal bertaraf lima bintang, kapal layar mewah ini turut dilengkapi ruang khas bagi membolehkan penumpang beragama Islam menunaikan solat lima waktu.
Segala bentuk hiburan di atas kapal pula akan disusun selaras nilai dan etika Islam manakala jadual pelayaran direka rapi bagi memastikan waktu solat tidak terjejas.

Bukan itu sahaja, kemudahan kelab kanak-kanak turut disediakan bagi membolehkan ibu bapa menikmati masa peribadi mereka sama ada bersantai di spa, menikmati minum petang, menghadiri bengkel kesihatan atau sekadar menikmati ketenangan di salah satu dek kapal indah.
Kapal ini mampu menampung sekitar 1,760 penumpang dalam 880 kabin, menawarkan pelbagai pilihan masakan serantau dan antarabangsa menggunakan bahan-bahan diperakui halal.
Kapal persiaran M/V Piano Land ini menawarkan dua laluan 4H3M melalui Langkawi, Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang serta 3H2M antara Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang.
Ini memudahkan pelancong menikmati keindahan bandar pelabuhan utama di Malaysia dengan pilihan makanan halal disediakan di atas kapal.