[V] Warong Lubok Talam 'port' tersembunyi pencinta lauk kampung dan kaki pancing
BAGI kaki pancing dan juga pecinta masakan kampung, Warong Lubok Talam yang terletak di Batu Menangis, Sungai Merab, Kajang, Selangor ini destinasi wajib untuk dikunjungi.
Dengan konsep 'healing' di tepi kolam memancing, lokasi terletak kira-kira 38 kilometer dari Kuala Lumpur ini bukan sahaja menjadi tempat berehat sambil menikmati kehijauan alam tetapi lokasi rekreasi bersama keluarga.
Seperti berada di sebuah perkampungan, Warong Lubok Talam menyajikan pelbagai pilihan makanan sama ada masakan Melayu, Cina dan Barat secara ala-carte atau sajian set.

Jika berkunjung pada waktu pagi, hidangan sarapan disediakan cukup meriah seperti Nasi Lemak Taiping, Nasi Dagang Ikan Kuala Besut, Nasi Kerabu Daging Bakar, Nasi Minyak Muar dan pelbagai makanan lain menyelerakan.
Kuali berkesempatan singgah makan di sana naik rambang mata melihat aneka pilihan makanan disediakan dan akhirnya memilih set Talam Melayu Uda & Dara berharga RM69 yang boleh dinikmati antara dua hingga tiga orang.
Dalam hidangan ini, selain nasi putih, anda akan diberikan lima jenis lauk iaitu telur dadar, ayam goreng berempah, sambal sotong petai, sayur kobis masak lemak dan ulam-ulaman beserta sambal belacan.
MENARIK DIBACA: Cara tradisional hilangkan lendir pada paru-paru perokok, cuma guna 3 bahan mudah dapur sahaja
MENARIK DIBACA: Ketahui bahaya 'fried rice syndrome', tabiat goreng semula nasi sisa boleh undang maut!
Menikmati masakan kampung dengan nasi panas tidak pernah mengecewakan. Rempah yang digunakan pada ayam goreng betul-betul terasa.
Malah untuk hidangan tersebut, anda akan diberikan antara empat hingga lima ketul ayam goreng untuk dikongsi bersama.
Sambal sotong petai yang dihidangkan juga tidak mengecewakan dengan rasa pedas sambal tidak keterlaluan.

Malah saiz hidangan juga boleh dikatakan agak besar dengan petai melimpah dan cukup berbaloi.
Sambil-sambil cuci mata melihat ragam pemancing serta suasana sekeliling yang hijau, membuatkan nafsu makan tambah berselera walaupun dihidangkan dengan lauk sederhana.
Hidangan set talam ini juga sudah termasuk dengan minuman berupa air balang dengan pelbagai rasa menyegarkan seperti air oren, anggur dan pandan.

Bagi penggemar manisan, jangan lepaskan peluang menikmati pelbagai aneka pencuci mulut seperti cendol, ABC serta pelbagai jenis kuih-muih tradisional.
Untuk anda yang ingin menikmati selera sambil memancing, pakej memancing yang ditawarkan bermula dengan harga RM40 untuk tiga jam, RM55 (7 jam), RM100 (16 jam) atau anda boleh memilih pakej berharga RM130 (3 jam + Set Talam Uda & Dara).
Dibuka setiap hari kecuali Selasa dari pukul 7 pagi sehingga 12 malam, Warong Lubok Talam menyediakan tempat parkir percuma yang luas serta kemudahan lain seperti surau dan tandas.
Alamat: Batu Menangis, Sungai Merab, 43000 Kajang, Selangor.
Waktu Operasi: 7 pagi hingga 12 malam (Selasa tutup).
Kemudahan: Parkir, surau, tandas, dan kawasan mesra kanak-kanak.
No. Telefon: 017-355 1877