Ketahui bahaya 'fried rice syndrome', tabiat goreng semula nasi sisa boleh undang maut!
LEBIHAN sisa nasi semalam tidak akan dibuang sebaliknya disimpan untuk dijadikan nasi goreng.
Biasanya nasi hanya dibiarkan dalam periuk nasi atau dalam ruang suhu bilik kerana yakin ia tidak akan basi dan masih selamat untuk dimakan.
Paling tidak, ada beranggapan jika ia tercemar sekali pun, asalkan sisa nasi itu dipanaskan semula atau dijadikan nasi goreng, pasti kuman dan bakteria akan mati apabila terkena haba.

Nampaknya fikiran itu boleh dibuang jauh-jauh kerana tabiat tersebut mendedahkan diri dan keluarga kepada risiko 'fried rice syndrome' iaitu masalah kesihatan berpunca daripada bakteria dikenali sebagai bacillus cereus.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM) bakteria itu memiliki sifat kebal berbanding salmonella yang akan mati apabila terkena haba.
Nasi yang dibiarkan pada suhu bilik lebih daripada dua jam akan berlaku proses pembiakan bakteria tersebut dan menghasilkan spora iaitu sel halus berfungsi sebagai alat pembiakan dan penyebaran.
MENARIK DIBACA: Lembut berinti kelapa, kuih bunga pudak penuh nostalgia
MENARIK DIBACA: Sayur kubis naik takhta, bakal jadi menu trending 2026
Spora akan tetap hidup selepas dimasak dan dipanaskan akan menetas di dalam perut dan mengeluarkan toksin berbahaya.
Kesannya, individu yang terkena jangkitan spora akan mengalami muntah dan cirit-birit berterusan.

PHM turut berkongsi kejadian terdahulu yang menimpa seorang mahasiswa lelaki apabila meninggal dunia selepas menjamah pasta yang dibiarkan di dapur pada suhu bilik selama lima hari selepas dipanaskan semula.
Akibat daripada toksin bakteria tersebut, pelajar lelaki itu meninggal dunia selepas hati dan buah pinggangnya gagal berfungsi disebabkan jangkitan.
Dalam pada itu, PHM menyarankan orang ramai supaya sentiasa peka dan membuang tabiat buruk 'jangan sebab sayang nasi segenggam, satu keluarga masuk wad kecemasan'.