5 pilihan tip simpan udang... Kekal segar lepas berhari-hari, tekstur pun tak 'lari'
UDANG antara salah satu makanan laut yang cepat rosak jika tidak disimpan dengan betul.
Bau hanyir melampau dan tekstur lembik merupakan petanda jelas bahawa udang sudah tidak segar.
Mak-mak pasti kecewa udang yang baru dibeli rosak walaupun sudah disimpan di peti sejuk.
Jangan risau kerana dengan teknik yang betul, udang boleh kekal segar seolah-olah baru dibeli malah mampu tahan hingga seminggu.
Berikut beberapa tip menyimpan udang supaya sentiasa segar dan tahan lama:

1. Rendam dalam air garam sejuk
Rendam udang selama kira-kira 10 minit dalam air sejuk yang dicampur satu sudu garam bagi setiap liter air yang digunakan.
Kaedah ini membantu mengurangkan pertumbuhan bakteria, mengekalkan kelembapan dan memastikan tekstur udang tetap kenyal.
MENARIK DIBACA: "Orang India tak boleh makan" - Netizen harmoni selesai 'isu' bubur lambuk, siap 'offer' tolong masak
MENARIK DIBACA: Tekap daun kubis bantu redakan masalah bengkak susu, ikuti langkah mudah ini

2. Simpan dalam bekas kedap udara bersama ais
Letakkan udang dalam bekas kedap udara dan lapiskan ais di bahagian bawah, tetapi pastikan ais tidak mencair hingga udang terendam.
Suhu sejuk yang stabil membantu mengekalkan kesegaran udang lebih lama.

3. Gunakan beg vakum atau tekan udara keluar
Jika ada beg vakum gunakan untuk membuang udara dari bekas penyimpanan kerana udara mempercepatkan kerosakan.
Jika tiada, gunakan beg ziplock dan tekan keluar udara sehabis mungkin.

4. Letakkan di bahagian paling sejuk
Simpan udang di bahagian paling sejuk peti air dengan suhu antara 0–4°C.
Elakkan meletakkannya di pintu peti kerana suhu di situ sering berubah dan boleh merosakkan udang lebih cepat.

5. Teknik rebus simpan lama (2–3 minggu)
Selepas direndam dalam air garam, rebus udang sebentar dalam air mendidih selama 15 hingga 20 saat dan terus masukkan ke dalam air ais.
Toskan, vakum dan simpan dalam freezer. Teknik ini mengekalkan tekstur kenyal dan rasa segar walaupun udang dicairkan selepas beberapa minggu.
