Peminat kuih raya tradisi 'reject' penggunaan bahan premium... Terus hilang klasik, nostalgia Aidilfitri
RAMAI beranggapan penggunaan bahan-bahan premium akan menjadikan kuih raya lebih sedap, sekali gus layak dijual pada harga tinggi.
Persoalannya, adakah ia benar-benar memberi kelainan dari segi kesedapan, atau sekadar gimik pemasaran (marketing) oleh peniaga semata-mata.
Menurut perkongsian seorang wanita di laman Threads, penggunaan mentega premium tidak semestinya akan menjadikan biskut raya lebih sedap.
Malah jika digunakan untuk sesetengah resipi tradisional, ia dikatakan boleh mengubah rasa dan tekstur kuih.

"Bagi aku penggemar biskut raya, aku rasa sebenarnya tak semua mentega premium sesuai dengan resipi biskut raya.
"Kadang terlalu bersusu rasanya, ada yang terlalu 'berat'. Kadang-kadang tak rasa hari raya bila makan," katanya.
Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen sehingga menimbulkan perdebatan hangat di ruangan komen.
Ramai yang bersetuju bahawa penggunaan mentega asli hanya sesuai untuk sesetengah jenis pastri, sementara kuih tradisional lebih ‘serasi’ dengan marjerin atau minyak sapi.
MENARIK DIBACA: [V] Belum pun lancar, koleksi biskut raya premium ini jadi rebutan di Singapura
MENARIK DIBACA: Kuih sopang tak kurang enak, sekali pandang ramai sangka badak berendam
Kuih semperit misalnya dikatakan hilang identiti apabila dihasilkan menggunakan mentega premium.
"Akhirnya ada juga yang sependapat, untuk lidah kita, pure butter sedap untuk kek dan soft cookies. Biskut-biskut raya ni pakai marjerin atau minyak sapi je untuk kekalkan rasa klasik.
"Setuju! Semua semperit premium yang diaorang claim tu tak sedap. Semperit kena rasa nostalgik, klasik dan tak keterlaluan," antara komen netizen.
Bagaimanapun, tidak kurang juga yang mempertahankan penggunaan mentega premium, mendakwa rasa kurang enak itu mungkin berpunca dari teknik memasak.

"Rasa bersusu tu bukan salah mentega, mungkin ada tambahan susu tepung dan tak ada bahan pahit untuk 'lawan' rasa tu macam coklat gelap.
"Macam-macam biskut saya buat semua guna mentega. Dan semuanya tak ada rasa susu. Mungkin sebab masa budak-budak dulu dah terbiasa makan yang guna marjerin, itulah tak tahu rasa mentega macam mana," tulis seorang lagi netizen.
Kesimpulannya, selera dan nostalgia memainkan peranan penting dalam menentukan bahan yang paling sesuai untuk kuih raya tradisional.
Sama ada kuih raya tradisional sewajarnya menggunakan bahan premium, atau lebih baik kekal dengan resipi klasik yang diwarisi turun-temurun, tepuk dada tanya selera!
