Nasi bungkus 'frozen' amat praktikal! Makan sedap bila-bila masa, tak jejas rasa
DALAM ekonomi yang serba mencabar sekarang, ramai tercari-cari tip untuk berjimat bagi mengurangkan perbelanjaan harian.
Sama ada memasak sendiri di rumah atau membeli makanan di luar, kedua-duanya tetap memerlukan kos.
Justeru, merancang stok makanan lebih awal boleh menjadi salah satu cara untuk menjimatkan masa dan wang, terutama bagi mereka yang sibuk.

Seperti dikongsikan seorang pengguna Threads, menyimpan nasi bungkus yang dibeli di dalam peti sejuk beku (freezer) memudahkan urusan makan kerana ia boleh dipanaskan semula apabila diperlukan.
Menurutnya, cara itu memudahkan urusan terutama ketika lapar tetapi tidak mempunyai banyak masa atau tenaga untuk menyediakan hidangan enak.
“Ada yang suka simpan nasi bungkus dalam freezer? Sangat memudahkan kalau lapar tapi malas.
MENARIK DIBACA:Bukan semua benda tahan lama dalam peti ais, doktor ini beri amaran 5 jenis makanan penyebab keracunan
MENARIK DIBACA:Tip mudah simpan daun sup, ketumbar tahan berbulan! Nak masak pun senang, tak membazir
"Tinggal microwave 15 minit, langsung siap untuk disantap," katanya menerusi hantaran di laman Threads.
Tambahnya, tip ini juga langsung tidak menjejaskan tekstur makanan meskipun selepas dipanaskan.
“Ini hasilnya, tidak kering, tidak lembik tetap sama dengan tekstur nasi awal,” ujarnya.
Di ruangan komen, rata-rata netizen mengaku turut mengamalkan cara sama kerana lebih menjimatkan masa, tenaga dan wang.

“Sudah tujuh tahun saya buat begini. Masak dalam kuantiti banyak, sejukkan dan simpan dalam bekas kaca mengikut satu hidangan.
“Cara ini lebih jimat dan tak membazir makanan," antara komen netizen.
Ada juga yang berkongsi bahawa cara itu membolehkan mereka menikmati lauk berbeza setiap hari tanpa perlu memasak berulang kali.
"Saya akan masak macam-macam jenis makanan. Terus masuk freezer. Hasilnya boleh makan lauk beza-beza tiap hari. Kurang buang sayur busuk," komen seorang lagi netizen.