KUALI | Tip & Trik

Bukan semua benda tahan lama dalam peti ais, doktor ini beri amaran 5 jenis makanan penyebab keracunan

Lead Image

PETI sejuk sering menjadi tempat menyimpan lebihan makanan dengan harapan ia dapat bertahan lebih lama. 

Malah, ramai juga percaya menyimpan makanan dalam peti sejuk boleh memanjangkan jangka hayatnya.

Namun, menerusi hantaran di laman Facebook, usahawan dan pakar perubatan, Dr. Raihana Ismail menyenaraikan jenis makanan yang boleh menjadi punca keracunan makanan jika disimpan dalam peti sejuk.

Kentang goreng yang disimpan boleh menghasilkan bakteria Clostridium Botulinum.

1. Kentang

Menurut Dr Raihana, kentang yang telah direbus atau digoreng tidak sesuai disimpan dalam peti sejuk dan dipanaskan semula.

"Bila disimpan dalam peti dan dipanaskan semula, boleh menghasilkan bakteria Clostridium Botulinum yang boleh menjadi punca keracunan serius," jelasnya.

Menyimpan nasi putih boleh menggalakkan pembiakan bakteria.

2. Nasi putih

Amalan menyimpan nasi putih untuk dimakan kemudian adalah perkara biasa, namun ia boleh menjadi tempat pembiakan bakteria Bacillus cereus yang tahan dalam suhu sejuk.

Telur yang dibiarkan terlalu lama berisiko menjadi punca keracunan makanan.

3. Telur rebus

Tambah Dr Raihana, telur yang sudah direbus dan dibiarkan terlalu lama dalam peti sejuk berisiko tinggi menjadi punca keracunan makanan.

"Kulit telur boleh retak secara halus, membolehkan bakteria masuk dan membiak," ujarnya.

Pastikan telur rebus diletakkan dalam bekas tertutup dan tidak melebih tiga hari.

Bawang putih berisikomenghasilkan toksin sekiranya tidak disimpan dengan betul.

4. Bawang putih cincang atau dalam minyak

Kongsi Dr. Raihana, bawang putih yang disimpan dalam peti sejuk terutamanya jika direndam dalam minyak boleh menghasilkan toksin sekiranya tidak disimpan dengan betul.

"Bawang putih memiliki tahap keasidan rendah, menyebabkan ia mudah terdedah kepada Clostridium Botulinum. 

"Sebaiknya gunakan segera atau simpan dalam bekas kering dan bersih pada suhu bilik,” nasihatnya.

Tekstur lembap mempercepatkan pengumpulan bakterian.

5. Cendawan

Cendawan yang sudah dimasak mempunyai tekstur lembap dan cepat mengumpul bakteria jika tidak dimakan segera.

Sebaiknya, makan terus lepas masak atau simpan tak lebih dari sehari.

Apabila sayur lembap, ia mudah busuk dan boleh jadi tempat bakteria membiak.

6. Sayuran berdaun

Ramai yang mencuci sawi, bayam dan lain-lain sayuran berdaun sebelum menyimpannya dalam peti sejuk. 

Namun tindakan ini sebenarnya boleh meningkatkan risiko keracunan makanan.

"Basuh dan simpan dalam peti tanpa keringkan betul-betul. Bila lembab dan mudah busuk, boleh jadi tempat bakteria membiak. Basuh bila nak guna saja," kongsinya.

Sambal yang disangka tahan lama boleh tercemar jika dicelup sudu berulang kali.

7. Sos atau sambal berminyak

Bagi mereka yang gemar memasak, terutamanya hidangan Melayu seperti sambal, menyimpan stok sudah menjadi kebiasaan.

Namun, tahukah anda bahawa amalan ini sebenarnya boleh meningkatkan risiko keracunan makanan?

Sambal yang disangka tahan lama boleh tercemar jika dicelup sudu berulang kali, apatah lagi apabila disimpan terlalu lama dalam peti sejuk.

"Guna sudu bersih setiap kali dan jangan terlalu simpan terlalu lama," tambahnya lagi.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Tip & Trik

Perasa semula jadi, gulai bertambah lemak... Banyak betul kelebihan buah keras dalam masakan

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Tip & Trik

Ada sebab bawang dan kentang tak boleh disimpan bersama, ikut tip ini elak cepat rosak

Terhangat