Kasihan salak 'dituduh' punca sembelit! Hakikatnya tinggi nutrisi penting
BUAH salak cukup popular di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand, malah tergolong antara buah unik kerana tekstur kulitya bersisik seperti ular.
Bentuk buah salak lazimnya lonjong dengan bahagian hujung yang runcing, namun ada juga buah salah berbentuk bulat.
Isinya berwarna putih kekuningan dengan kombinasi rasa masam dan manis dengan sedikit rasa kelat di hujung rasa.

Bagaimanapun, ramai tidak menggemari salak kerana buah eksotik ini sering dikaitkan dengan masalah sembelit, menyebabkan ada individu memilih untuk mengelakkan daripada mengambilnya secara berlebihan.
Hakikatnya, tanggapan tentang keburukan salak sebenarnya tidak tepat malah kajian menunjukkan buah ini sebenarnya mengandungi sumber prebiotik serta zat besi tinggi, mengatasi brokoli, bayam, ayam dan daging.
Selain prebiotik dan zat besi, berikut merupakan nutrisi lain yang terdapat pada buah salak.
1. Kaya antioksidan
Antara kelebihan buah salak ialah kandungan sebatian antioksidan seperti polifenol dan flavonoid.
Sebatian ini membantu meneutralkan radikal bebas, iaitu molekul tidak stabil yang boleh menyebabkan kerosakan sel apabila terkumpul secara berlebihan dalam tubuh.
Pengambilan makanan yang mengandungi antioksidan sebagai sebahagian daripada diet seimbang dapat membantu menyokong kesihatan tubuh.

2. Membekalkan tenaga
Salak mengandungi karbohidrat dan gula semula jadi yang boleh digunakan oleh tubuh sebagai sumber tenaga.
Berdasarkan pangkalan data Komposisi Makanan Malaysia, 100 gram bahagian salak yang boleh dimakan mengandungi kira-kira 77 kalori dan 18.4 gram karbohidrat.
Ini menjadikan salak salah satu pilihan buah-buahan yang boleh dinikmati untuk menambah tenaga ketika bersarapan atau dijadikan snek.
3. Membekalkan serat untuk sistem pencernaan
Serat merupakan nutrien penting untuk membantu menyokong fungsi sistem pencernaan.
Pengambilan serat yang mencukupi bersama air dapat membantu melembutkan najis dan memudahkan proses membuang air besar.
Bagaimanapun, bagi membantu melancarkan pembuangan air besar yang lebih sempurna, pengguna disaran untuk mempelbagaikan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya serat.
MENARIK DIBACA: Tak ramai tahu kulit buah salak rupanya boleh dijadikan penawar sakit diabetes, sembelit
MENARIK DIBACA: Jangan salah pilih daun limau purut, pastikan bentuk '8' elak masakan jadi pahit
4. Mengandungi mineral penting
Salak turut membekalkan beberapa mineral yang diperlukan tubuh, termasuk kalium, kalsium, fosforus dan zat besi.
Zat besi penting untuk menghasilkan hemoglobin, iaitu protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh.
Kalsium pula membantu mengekalkan kepadatan serta kekuatan tulang, sekaligus mengurangkan risiko masalah tulang seperti osteoporosis di usia tua.

5. Berpotensi menyokong kesihatan melalui sebatian bioaktif
Kajian terhadap salak turut mengenal pasti beberapa sebatian tumbuhan seperti asid galik, kuersetin dan asid klorogenik.
Sebatian ini dikaji kerana aktiviti antioksidan serta potensi kesan biologinya.
Beberapa kajian makmal juga meneliti potensi ekstrak salak dalam aspek berkaitan paras gula darah dan tekanan darah.