Risiko guna jus limau dalam botol, mudah tak semestinya selamat!
JUS limau dalam botol dilihat sebagai alternatif terbaik untuk menghasilkan rasa masam dalam masakan mahupun minuman.
Mana tidaknya, kita tak perlu bersusah payah memerah limau satu per satu sebaliknya hanya perlu tuang saja jus dari botol mengikut sukatan.
Di sebalik kemudahan tersebut, timbul persoalan mengenai kandungan bahan tambahan dalam sesetengah produk jus limau.
Perkara itu didedahkan pempengaruh @Dr1share, yang menerangkan mengenai beberapa bahan kimia aktif yang didakwa terkandung dalam jus limau botol serta kesannya terhadap kesihatan.
“Saya dah cakap jangan guna jus limau palsu ni. Dalam satu botol jus itu terkandung 100 peratus bahan kimia,” dakwanya menerusi video di laman TikTok.
Menurutnya, terdapat tiga bahan yang perlu diberi perhatian iaitu 'tartrazine', 'acacia gum' dan 'citric acid monohydrate'.

1. Tartrazine
Bahan ini dikaitkan dengan risiko 'hives' dan 'urtikaria', iaitu reaksi alahan yang boleh menyebabkan kulit kemerah-merahan serta bibir membengkak.
2. Acacia gum
Bahan ini berisiko menyebabkan kembung perut, menjejaskan sistem penghadaman dan menyebabkan cirit-birit.
3. Citric acid monohydrate
Bahan ini pula didakwa mempunyai kaitan dengan pelbagai masalah kesihatan gigi.
“Ia punca hakisan gigi, enamel menjadi nipis, gigi lebih sensitif serta meningkatkan risiko gingivitis,” ujarnya.
MENARIK DIBACA: Limau kasturi kecil tapi 'power'! Cuba buat kiub jus, tip awet muda kos rendah
MENARIK DIBACA: Kurangkan bau mulut dengan daun limau purut, sakit gigi pun boleh hilang… Ini cara-caranya
Dalam pada itu, pempengaruh itu menegaskan dia langsung tidak berniat untuk menutup periuk nasi peniaga tempatan yang menjual atau menggunakan produk ini dalam masakan.
Sebaliknya perkongsian dibuat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih peka terhadap kandungan sesuatu produk makanan dan minuman yang diambil.
Tambahnya, tidak semestinya produk yang mudah dan menjimatkan dari segi penggunaan bermakna ia pilihan terbaik untuk kesihatan.
“Bukan nak tutup periuk nasi orang, tapi nak sedarkan masyarakat yang banyak makanan kita hari ini bukan daripada bahan semula jadi tapi sintetik.
“Bagi mereka yang ada heartburn (pedih ulu hati) atau GERD, korang tak rasa minum jus limau palsu ni boleh datangkan risiko lagi teruk ke?” ujarnya.