5 tip diet untuk selesai masalah buncit, harapkan 1 kaedah saja tak akan berhasil
PERUT buncit bukan sahaja boleh mengganggu penampilan, malah sering dikaitkan dengan pengambilan makanan berlebihan, kurang aktiviti fizikal dan gaya hidup kurang sihat.
Seorang wanita di Threads memetik nasihat pakar nutrisi yang sering berkongsi tentang gaya hidup sihat, Dr Norman Norawi yang menyatakan terdapat lima perkara perlu diberi perhatian sekiranya mahu mengurangkan lemak di bahagian perut.

Dr Norman menekankan bahawa usaha untuk mendapatkan perut kempis bukan bergantung kepada satu tip sahaja, sebaliknya perlu melakukan beberapa perubahan gaya hidup.
Berikut merupakan lima perkara yang perlu diberi perhatian untuk menghindari perut buncit.

1. Pengambilan gula
Antara perkara pertama yang disarankan ialah mengurangkan gula, khususnya daripada makanan dan minuman yang tinggi gula tambahan.
Pengambilan gula secara berlebihan boleh menyumbang kepada lebihan kalori dan peningkatan berat badan.
Justeru, mengurangkan makanan serta minuman manis boleh menjadi salah satu langkah untuk mengawal berat.

2. Makanan ultra-proses
Roti putih, biskut, kuih manis dan makanan yang tinggi karbohidrat bertapis antara contoh yang disebut dalam perkongsian tersebut.
Makanan sebegini lazimnya kurang serat dan sesetengahnya tinggi gula, lemak atau kalori. Pengambilan secara berlebihan boleh menyukarkan usaha mengawal berat badan.

3. Karbohidrat tinggi serat
Bukan semua makanan berkarbohidrat perlu dielakkan.
Sebaliknya, pilihan yang lebih tinggi serat seperti beras perang, oat, ubi kayu dan ubi keledek boleh dimasukkan dalam diet mengikut keperluan individu.
Serat juga membantu memberikan rasa kenyang lebih lama, sekali gus boleh membantu seseorang mengawal jumlah makanan yang diambil.
MENARIK DIBACA: 6 makanan 'ditakuti' individu sedang diet, dianggap tak sihat... Hakikatnya baik untuk tubuh
MENARIK DIBACA: Wanita amal diet 'bigu' turun 20kg tapi berjalan macam penguin, ingatan merosot

4. Makanan mengandungi 'resistant starch' dan lemak
'Resistant starch' ialah sejenis kanji yang lebih sukar dihadam dalam usus kecil dan boleh bertindak seperti serat.
Ia boleh ditemui secara semula jadi dalam beberapa makanan berkanji dan kandungannya juga boleh berubah selepas proses memasak dan penyejukan.
Lemak seperti minyak zaitun, santan, minyak sawit dan lemak haiwan tetap perlu diambil secara sederhana kerana ia tinggi kalori.

5. Sayur, buah dan aktiviti fizikal
Pengambilan sayur dan buah dalam jumlah bersesuaian boleh membantu menyediakan serat, vitamin serta mineral kepada tubuh.
Perkongsian itu turut menyebut mengenai 'intermittent fasting' atau puasa berkala seperti kaedah 16:8, 18:6 dan 20:4.
Selain itu, senaman juga penting untuk membantu meningkatkan penggunaan tenaga dan mengekalkan kesihatan secara keseluruhan.
Pengurusan stres turut diberi perhatian kerana tekanan yang berpanjangan boleh mempengaruhi corak tidur, selera makan dan tingkah laku pemakanan.

Bagaimanapun perlu diingat bahawa usaha mengurangkan perut buncit bukanlah sesuatu yang berlaku dalam masa singkat.
Apa yang lebih penting, lemak tidak boleh dibakar secara khusus hanya pada bahagian perut.
Pengurangan lemak badan secara keseluruhan melalui pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal lazimnya lebih realistik untuk membantu mengecilkan ukuran pinggang.