Kurangkan bau mulut dengan daun limau purut, sakit gigi pun boleh hilang… Ini cara-caranya
KERAP digunakan sebagai penyedap masakan, limau purut turut menyimpan pelbagai khasiat untuk kesihatan dan kecantikan.
Daun limau purut mempunyai nilai perubatan tinggi kerana kandungan antibakteria, antioksidan dan vitamin yang penting untuk tubuh.
Menurut perkongsian Pertanian Satu Perniagaan di Facebook, daun limau purut memberi kesan positif dalam menjaga kesihatan dalaman, malah membantu mengurangkan masalah berkaitan oral secara semula jadi.

Kandungan komponen citronellal dan limonene dalam limau purut bertindak sebagai bahan antibakteria dalam mengurangkan bakteria punca bau mulut dan pembentukan plak.
Berikut adalah 5 kebaikan limau purut terhadap kebersihan mulut boleh dijadikan sebagai alternatif penjagaan diri.

1.Mengurangkan pembentukan karang gigi
Kandungan asid dan antibakteria dalam limau purut membantu mengurangkan pengumpulan bakteria dan sisa makanan pada gigi.
Penggunaan jus limau purut yang cair untuk kumur membantu melambatkan pembentukan karang gigi sekaligus mengekalkan permukaan gigi lebih bersih.
Amalan ini juga dapat menyokong kebersihatan harian namun tidak digalakkan penggunaan kerap bagi mengelak hakisan enamel.

2. Jus daun limau purut kurangkan sakit gigi
Daun limau purut muda juga bertindak sebagai bahan anti radang boleh digunakan untuk mengurangkan sakit gigi.
Caranya mudah, ambil daun limau purut muda dan tumbuk hingga keluar air.
Campurkan sedikit garam, kemudian letak pada kapas dan tampal pada gigi sakit atau berlubang.
Daun ini turut mengandungi antibakteria bantu kurangkan kehadiran kuman pada gigi.

3. Rangsang penghasilan air liur elak mulut berbau
Asid Sitrat dalam limau purut merangsang pengeluaran air liur.
Air liur yang mencukupi membantu membersihkan sisa makanan punca utama bau mulut.
MENARIK DIBACA: Bukan sahaja tengok rupa, goncang dan bau antara teknik elak dapat telur tembelang
MENARIK DIBACA: Wanita sedang TTC kena elak 7 makanan ini, gula pula boleh jejas keseimbangan hormon
Limau purut juga mempunyai komponen aktif lain seperti limonene, minyak pati semula jadi pada kulit limau purut menjadikannya berkesan untuk menyegarkan nafas.

4. Gusi bengkak atau berdarah
Cuba perah sedikit jus buah limau purut bercampur dengan air suam pada bahagian gusi bengkak atau berdarah.
Kandungan vitamin C dan asid sitrik dalam jus buah ini membantu kuatkan gusi.
Komponen seperti limonene juga mempunyai kesan anti-radang membantu menenangkan gusi sensitif atau sedikit bengkak.

5.Pemutih gigi semula jadi
Kulit buah limau purut boleh membantu mengembalikan kecerahan dan kebersihan gigi.
Caranya, gosok perlahan kulit buah ini pada gigi selama beberapa saat dan kumur bersih.
Komponen aktif seperti seperti ekstrak pati pada permukaan kulit, limonene, citronellal dan asid sitrik bertindak sebagai pembersih semula jadi menanggalkan sisa makanan.
Sisa kotoran tertanggal juga menyumbang kepada kesan gigi lebih cerah sihat.