Bukan sahaja tengok rupa, goncang dan bau antara teknik elak dapat telur tembelang
PASTI ada di antara kita pernah membeli telur yang rosak dan berbau walaupun luarannya kelihatan baik.
Lebih malang apabila baru hendak memasak, telur yang dipecahkan di dalam kuali rupanya telur tembelang dan baunya pula menusuk hidung.
Dari luar nampak elok, tapi apabila dipecahkan lain pula ceritanya.
Sebenarnya, ada beberapa cara mudah untuk tahu sama ada telur itu masih segar, bermutu tinggi atau sudah rosak.
Jom Kuali kongsikan tip-tip ringkas yang boleh anda praktikkan sebelum membeli telur di pasar raya.

1. Periksa bentuk dan keadaan kulit telur
Pilihlah telur berbentuk lebih bulat atau sfera, kulit licin, bersih dan tidak retak.
Elakkan memilih telur yang mempunyai banyak kesan najis ayam kerana menandakan ia tidak dikendalikan dengan baik.

2. Goncangkan telur
Telur yang masih baru dan berkualiti tidak akan menghasilkan bunyi ketika digoncang kerana putih dan kuning telur masih melekat kuat antara satu sama lain.
MENARIK DIBACA: Saiz dapur kecil bukan masalah, ada cara deko agar nampak luas dan praktikal
MENARIK DIBACA: Kulit risoles mudah pecah selepas digoreng, puncanya ramai tertinggal 2 bahan ini
Jadi tak salah kalau anda cuba goncangkan telur terlebih dahulu sebelum membeli.

3. Bau telur dari luar
Telur segar tidak akan mengeluarkan sebarang bau.
Jika anda dapat menghidu bau tidak menyenangkan walaupun belum dipecahkan, itu tanda telur tersebut sudah rosak dan sebaiknya jangan dibeli.

4. Rendam dalam air
Telur masih elok akan terus tenggelam apabila direndam di dalam air manakala telur yang sudah lama atau rosak biasanya akan terapung.
Kaedah rendam air boleh dilakukan di rumah sebagai langkah tambahan untuk memastikan kesegarannya.

5. Semak tarikh luput
Pastikan telur anda beli masih dalam tempoh selamat untuk digunakan dan belum melepasi tarikh tamat tempoh yang tertera pada bungkusan.
Elakkan juga dari membeli telur yang hampir tamat tempoh terutamanya jika ingin menyimpannya lebih lama di rumah.