Minuman herba halia bakar dikatakan bagus minum waktu pagi
HALIA sering digunakan ketika memasak untuk lebih menaikkan aroma dan rasa masakan.
Selain dijadikan rencah dalam masakan, halia juga boleh dijadikan minuman herba dengan menggabungkannya bersama bahan semula jadi lain seperti serai dan kulit kayu manis.
Menariknya, resipi minuman ini menggunakan halia yang dibakar terlebih dahulu sebelum ditumbuk sehingga lumat.
Selain mampu menyerlahkan lagi rasa dan aroma, halia bakar juga boleh mengubah kandungan sebatian semula jadinya.

Sebagai contoh, gingerol boleh berubah menjadi shogaol dan zingeron, iaitu sebatian yang mempunyai kesan berbeza terhadap tubuh, dikaitkan dengan kesan antioksidan dan antiradang.
Selain halia, dua bahan lain yang digunakan dalam minuman ini turut mempunyai ciri tersendiri.
Serai mengandungi sebatian aromatik yang memberikan bau segar dan rasa tersendiri.
MENARIK DIBACA: Buat sendiri jeli kesihatan guna lemon, kunyit dan halia... Snek enak, bantu kulit 'glowing'
MENARIK DIBACA: Teh halia bukan sekadar bantu legakan sakit perut, banyak manfaat mengamalkannya
Air rendaman serai boleh menjadi pilihan minuman tanpa gula yang membantu meningkatkan pengambilan cecair harian.
Sementara itu, kulit kayu manis pula mengandungi sebatian polifenol serta bahan aromatik yang memberikan rasa hangat dan sedikit manis.
Beberapa kajian turut meneliti potensi kayu manis dalam membantu mengawal paras gula dalam darah.
Jom Kuali kongsikan cara menyediakan air rendaman halia bakar, serai dan kayu manis seperti yang dikongsikan Aina & Nenek di TikTok.
Bahan-bahan
- Halia (dibakar)
- Serai (dititik)
- Kulit kayu manis

Langkah penyediaan
- Bakar halia sehingga kulitnya sedikit terbakar tapi jangan sampai rentung.
- Kikis kulitnya lalu tumbuk sehingga lumat.
- Masukkan halia ditumbuk tadi ke dalam cawan bersama serai dan kulit kayu manis.
- Tuang air panas dan biarkan seketika sehingga suam.
- Minum setiap pagi ketika perut kosong.