Negara berbelanja besar import beras, individu dedah punca industri padi tempatan masih ketinggalan
INDUSTRI padi memainkan peranan besar di negara ini kerana beras menjadi makanan ruji masyarakat tempatan.
Di sebalik kepentingan itu, timbul persoalan besar apabila negara masih perlu membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun untuk mengimport beras dari luar negara.
Perkara ini turut dibangkitkan oleh pengguna Threads dikenali sebagai Shahrizal Denci yang mengaitkan isu ini dengan Malaysia yang mempunyai ribuan pesawah tempatan masih aktif mengusahakan sawah padi.
Shahrizal lebih mesra dipanggil YB atau Yang Bawang kerana menjadi perintis penanaman bawang di Malaysia, turut mempersoalkan status industri padi tempatan yang dianggap masih belum cukup efisien untuk menampung keperluan negara sendiri.

Jelasnya, produktiviti padi masih rendah berbanding negara jiran seperti Vietnam dan Thailand.
“Negara hanya mencatatkan sekitar empat hingga lima tan sehektar, manakala Vietnam mampu mencapai enam hingga tujuh tan sehektar.
“Ini bukan isu tanah semata-mata, sebaliknya melibatkan keseluruhan sistem pengurusan industri. Antara masalah utama ialah struktur tanah terlalu kecil dan berpecah-pecah.
“Kebanyakan pesawah hanya mengusahakan lot kecil sekitar satu hingga tiga hektar, sekali gus menyukarkan penggunaan jentera moden serta meningkatkan kos operasi bagi setiap unit pengeluaran,” tulisnya di Threads.
MENARIK DIBACA: Bapa 'kaki pancing', Farihin Arnia tak kisah makan 'seafood' 2 minggu berturut-turut
MENARIK DIBACA: Cuma guna gula... Ini cara simpan udang kekal segar berbulan-bulan, rasa tak terjejas
Berkongsi lanjut, katanya, industri padi juga terlalu bergantung kepada subsidi berbanding peningkatan produktiviti sebenar.
Tambahnya, walaupun kerajaan menyediakan bantuan seperti subsidi benih, baja dan harga lantai, fokus utama sesetengah pihak lebih kepada mendapatkan subsidi berbanding memaksimumkan hasil tanaman.
Baginya, masalah lain tidak kurang penting ialah pengurusan air dan infrastruktur masih lemah.
“Tanaman padi sangat bergantung kepada sistem saliran dan bekalan air konsisten, namun banyak kawasan masih berdepan isu saliran tidak efisien, sistem lama tidak dinaik taraf serta bekalan air tidak stabil.
“Dalam masa sama, teknologi dan hasil penyelidikan juga dilihat lambat sampai kepada pesawah kecil.

“Walaupun mempunyai institusi berkaitan, kadar penggunaan teknologi moden dalam kalangan pesawah masih rendah kerana ramai masih menggunakan kaedah tradisional kurang efisien,” tegasnya.
Tambahnya lagi, rantaian bekalan industri padi yang terlalu rigid turut menjadi penghalang.
Kawalan ketat dari segi harga, pengilangan dan pengedaran menyebabkan pesawah tidak bebas menjual hasil mereka, sekali gus mengecilkan margin keuntungan dan mengurangkan insentif untuk meningkatkan produktiviti.
Shahrizal turut menegaskan bahawa masa depan industri ini semakin mencabar apabila generasi muda kurang berminat untuk menceburi sektor pertanian.

“Pendapatan rendah, kerja berat serta risiko tinggi menyebabkan ramai memilih kerjaya lain.
“Ditambah pula dengan kos input seperti baja, racun dan tenaga kerja semakin meningkat, ramai pesawah kini hanya bertahan untuk kelangsungan hidup, bukannya mengembangkan industri,” kongsinya.
Menurutnya, masalah sebenar bukan terletak pada padi atau pesawah, tetapi keseluruhan ekosistem industri itu sendiri.
Antara perubahan besar perlu dilakukan ialah konsolidasi tanah bagi membentuk ladang lebih besar, penggunaan mekanisasi dan automasi, reformasi sistem insentif memberi ganjaran kepada produktiviti serta menarik golongan muda sebagai agropreneur moden.