Hanya 3 bahan nak masak ayam goreng berlado, tapi sedapnya bukan main!
AYAM goreng berlado barangkali antara resipi paling mudah disediakan kerana bahan-bahan dan cara memasaknya tidaklah sukar.
Menu yang cukup ringkas tetapi boleh membuatkan sesiapa makan bertambah! Hendak pula makan bersama nasi putih panas-panas.
Tetapi hendak menjadikan masakan itu sedap yang paling susah apatah lagi ingin menyaingi kesedapan air tangan ibu.
Menggunakan bahan seperti cili merah, tomato dan bawang yang ditumis sehingga pecah minyak, resipi ini boleh memikat sesiapa sahaja.
MENARIK DIBACA : Hanya 3 langkah membuatnya, mi tumis Hokkien hidangan lengkap mengenyangkan
MENARIK DIBACA : [V] Asyik rebus cicah sos bosan juga, ini resipi kerang cili padi masam manis
Rahsia menyedakan sambal, guna minyak menggoreng ayam untuk menumis bahan-bahan kisar.
Rasa ayam yang menyatu dengan minyak memberikan rasa manis pada sambal.
Jom cuba resipi mudah dan ringkas ini.
Bahan-bahan
- 1 ekor ayam, dipotong kecil
- Kunyit secukupnya (untuk perapan ayam)
- Garam secukup rasa
- 1kg cili merah segar
- 250g tomato merah
- 850g bawang merah
Langkah penyediaan
- Perapkan ayam dengan kunyit dan garam. Ketepikan.
- Tumbuk kasar cili merah, tomato, dan bawang merah. Ketepikan.
- Panaskan kuali dan goreng ayam hingga keemasan. Angkat dan toskan.
- Gunakan minyak lebihan untuk menumis bahan sudah ditumbuk tadi. Tumis hingga cili masak dan bertukar kepada merah gelap. Tambah garam jika perlu.
- Buang lebihan minyak dari tumisan dan masukkan ayam yang telah digoreng. Gaul rata sambal dengan ayam hingga bersalut sepenuhnya. Hidangkan panas-panas.