KUALI | Resipi Tradisi
Bosan asyik makan bihun, mak-mak boleh cuba resipi misua goreng
BIASANYA kita akan menggunakan mi kuning atau bihun dalam masakan tetapi ramai terlepas pandang dengan satu lagi jenis mi iaitu misua.
Misua atau mi gelas diperbuat daripada adunan tepung gandum tak kalah enaknya dengan mi kuning atau pun bihun.
Tekstur mi asal China ini juga kenyal dan sesuai dijadikan masakan berkuah atau digoreng.
MENARIK DIBACA : Hanya 3 langkah membuatnya, mi tumis Hokkien hidangan lengkap mengenyangkan
MENARIK DIBACA : Sedapnya cicah dengan roti baguette, tak susah pun nak buat sup labu
Kuali kongsikan resipi misua goreng untuk dicuba sendiri di rumah.
Bahan-bahan
- 160g misua
- 3 sudu besar minyak bijan
- 1 sudu teh bawang putih cincang
- 1 sudu besar bawang merah cincang
- 2 biji cendawan cina kering (direndam)
- 70g isi ayam
- 100g udang kecil dikupas kulit & potong kecil
- 50g hirisan lobak merah
- 1 keping kek ikan (dipotong kecil)
- 2 biji telur
- 300ml stok ayam
Bahan perasa
- 2 sudu besar kicap cair
- 1 sudu besar sos tiram
- 1 sudu teh lada hitam
- 1/2 sudu teh serbuk stok ayam
- 3 sudu besar air
Bahan hiasan
- 1 biji cili merah (dibuang biji dan dihiris)
- 1 sudu besar daun bawang (dicincang)
- 1 sudu besar daun ketumbar (dicincang)
Langkah penyediaan
- Panaskan dua cawan minyak dalam kuali hingga panas dan masukkan mi sua dan goreng dengan cepat, terbalikkan hingga keemasan.
- Kemudian, celur misua dalam air panas sehingga lembut. Toskan menggunakan penapis.
- Panaskan 2 sudu besar minyak bijan dan minyak dalam kuali. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga naik aroma.
- Masukkan cendawan, ayam, udang, lobak merah dan kek ikan, kemudian goreng seketika.
- Tambahkan 1 sudu besar pes perasa dan tumis hingga sebati, kemudian angkat dan ketepikan.
- Panaskan 1 sudu besar minyak bijan dalam kuali bersih. Masukkan telur dan kacau sehingga telur masak.
- Tuangkan stok ayam biarkan mendidih. Tambahkan baki pes.
- Masukkan misua bersama ayam, udang dan cendawan ke dalam kuali. Tumis hingga sos menjadi kering.
- Tambah telur hancur dan gaul hingga sebati. Siap untuk dihidangkan.