Hanya 3 langkah membuatnya, mi tumis Hokkien hidangan lengkap mengenyangkan
RESIPI ringkas dengan bajet rendah kini menjadi tarikan buat mereka gemar memasak.
Jika anda ketandusan idea, boleh cuba resipi mi tumis Hokkien yang dikongikan Kuali, bukan sekadar mudah tetapi sesuai dinikmati seisi keluarga kerana rasanya manis.
Gabungan bahan seperti udang, sotong dan isi ayam juga membantu menu ini lengkap dengan nutrisi diperlukan termasuk protein dan karbohidrat.
Bahan-bahan
- 500g mi kuning
- 5 ekor udang dikupas
- 100g ayam, dicarik halus
- 100g sotong kering, dihiris
- 6 keping kek ikan dihiris
- Segenggam tauge
- 3 sudu besar minyak
- 1 sudu kecil bawang putih cincang
Perapan
- 1/2 sudu kecil lada
- 1 sudu kecil kicap cair
- Setengah sudu kecil minyak bijan
Pes tumisan
- 1 ½ sudu besar kicap pekat
- 1 sudu besar sos tiram
- 500ml kaldu ayam
Langkah penyediaan
1. Perap udang dan ayam dengan bahan perapan. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang putih hingga kekuningan. Masukkan ayam, udang dan kek ikan kemudian teruskan menumis.
2. Masukkan mi, sotong kering dan pes tumisan. Kacau sebati dan biarkan reneh selama kira-kira enam minit.
3. Buka penutup kemudian campur tauge. Setelah kuah sedikit pekat, angkat dan hidangkan segera.