Musang King tersenarai antara buah tropika terburuk dunia
DURIAN Musang King menjadi salah satu buah kebanggaan Malaysia, malah cukup terkenal dalam kalangan pencinta durian di seluruh dunia.
Bagaimanapun siapa sangka, buah yang sinonim dengan isi tebal dengan rasa manis lemak berkrim itu tersenarai dalam kategori buah tropika ‘terburuk’ di dunia.
Menerusi laporan portal kulinari TasteAtlas, Musang King berada di kedudukan ke-10 dalam senarai 37 buah tropika dari seluruh dunia dengan skor 3.7 daripada 5 bintang.
Musang King sering dianggap sebagai antara varieti durian terbaik dan paling mendapat permintaan kerana teksturnya yang padat, berkrim serta rasanya yang cukup padu.

Isinya pula berwarna kuning terang, tebal seperti kastard dengan gabungan rasa manis dan sedikit pahit yang menjadi kegemaran penggemar durian tegar.
Varieti ini sebenarnya sudah lama wujud dan dikenali sebagai Raja Kunyit, namun mula popular sekitar era 1980-an selepas didaftarkan dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
Kini, Musang King banyak ditanam di Pahang dan turut mendapat permintaan tinggi di negara seperti Singapura serta China.
Bagaimanapun, bagi sebahagian masyarakat luar yang tidak biasa dengan durian, buah ini sering dianggap mempunyai bau terlalu kuat dan kurang menyenangkan.
MENARIK DIBACA: Musim durian diramal lebih lama tahun ini! Isi 'power', berlemak disebabkan cuaca
MENARIK DIBACA: Setengah orang anggap durian busuk, ada individu kata harum... Ini penjelasan saintifik
Ada yang menggambarkan aromanya seperti bau belerang atau gas sehingga ramai memberikan penilaian negatif.
Malah, gabungan rasa manis pahit bersama teksturnya yang sangat berkrim juga dianggap pelik bagi sesetengah individu.
Dalam senarai sama, kedudukan teratas buah tropika ‘terburuk’ dunia disandang oleh 'wood apple' atau dikenali sebagai buah belingai dari India.
Tempat kedua pula adalah buah Nona atau Anona da Madeira dari Portugal, manakala tangga ketiga diduduki pisang hijau dikenali sebagai Matoke dari Uganda.