Musim durian diramal lebih lama tahun ini! Isi 'power', berlemak disebabkan cuaca
MUSIM durian nampaknya datang lebih awal tahun ini apabila beberapa jenis 'raja buah' popular seperti D604, Lipan dan Musang King sudah mula membanjiri pasaran di Pulau Pinang.
Memetik laporan The Star, antara yang mencuri perhatian pastinya D604, durian hibrid awal musim dari Balik Pulau yang terkenal sebagai antara yang terawal gugur, sekali gus ‘membuka tirai’ musim durian.
Dari segi rasa, D604 ini cukup memikat dengan gabungan manis, berlemak dan ada sedikit rasa kekacang.

Isinya pula tebal dengan warna kuning keemasan lembut, memang pilihan tepat bagi penggemar durian manis.
Menurut peniaga durian, Ang Hock Leng, keadaan cuaca yang kurang hujan tahun ini sebenarnya memberi kelebihan pada rasa buah.
“Walaupun masih awal musim, durian yang dah masuk pasaran sekarang memang sedap. Harga memang sedikit mahal sebab baru mula, tapi pelanggan tetap datang beli.
MENARIK DIBACA: Setengah orang anggap durian busuk, ada individu kata harum... Ini penjelasan saintifik
MENARIK DIBACA: Minum kopi lepas makan durian bahaya? Ini 5 kombinasi makanan sering dilarang ambil bersama
“Ramai juga yang tak sedar musim dah mula awal, jadi mereka hanya singgah selepas nampak gerai kami,” katanya.
Tambahnya lagi, durian untuk musim kali ini dijangka lebih ‘power’ dari segi rasa, selain berpotensi bertahan lebih lama susulan cuaca kering.
Buat masa ini, antara jenis durian yang sudah boleh didapati dari Balik Pulau termasuk D604, Lipan, Lipan Bara, Yellow Ginger, Capri, D600 dan Musang King.
Bagaimanapun bagi peminat Udang Merah dan Hor Lor, anda perlu bersabar sedikit kerana ia dijangka muncul dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Durian D604 kini berharga sekitar RM25 sekilogram, manakala Lipan pula antara RM20 hingga RM30 bergantung pada saiz dan berat.
Untuk Musang King, harganya lebih premium iaitu mencecah RM58 sekilogram bagi gred tertinggi, manakala gred biasa sekitar RM38.
Walaupun harga sedikit ‘kayangan’, tetapi buat peminat durian perkara itu tidak menjadi masalah asalkan kualiti rasa setara.