Setengah orang anggap durian busuk, ada individu kata harum... Ini penjelasan saintifik
ADA sesetengah individu bila dekat saja dengan durian terus tutup hidung kerana tak tahan baunya.
Tapi ada pula yang semakin kuat bau 'raja buah' makin suka jadinya, siap puji harum lagi!
Persoalannya, kenapa reaksi setiap orang berbeza walaupun mereka menghidu bau yang sama?
Menurut laporan SingaporeTheBlueCats, jawapannya terletak pada faktor gabungan kimia, alam sekitar dan pengalaman hidup seseorang seperti berikut:

1. Gabungan kimia
Durian mengandungi bahan kimia sulfur, punca utama bau kuatnya.
Bila sulfur bergabung dengan 80 jenis sebatian bau lain, ia menghasilkan aroma kompleks yang bagi hidung sesetengah orang baunya seperti kentut atau telur busuk.
Bau kuat ini membuatkan durian 'diharamkan' di hotel, pengangkutan awam dan ruang tertutup di kebanyakan negara.

2. Alam sekitar (penyebaran biji)
Bau menusuk durian sama ada busuk atau wangi (bergantung kepada individu) sebenarnya mempunyai fungsi.
Apabila buah jatuh dan merekah di tanah, baunya menarik haiwan untuk makan isi dalam buah.
Haiwan yang makan durian membantu menyebarkan biji ke kawasan baharu, memastikan kelangsungan spesis durian.
Apa yang busuk bagi manusia, mungkin wangi atau menarik bagi haiwan tertentu.

3. Pengalaman hidup (conditioning)
Manusia yang membesar dengan durian sejak kecil akan menganggap baunya manis dan menyenangkan.
Ini kerana, lama-kelamaan otak belajar menerima dan menikmati aromanya.
Mereka yang tidak biasa dengan durian akan terus menganggap baunya busuk kerana tiada memori positif yang terbina.