Konflik Asia Barat: Ada pengguna buat pembelian panik, ini nasihat KPDN
PENGGUNA dinasihatkan tidak cemas atau terburu-buru melalukan pembelian panik susulan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL), Mohd Shahran Mohd Arshad dalam satu kenyataan berkata bekalan barangan keperluan asas berada dalam keaadan mencukupi dan terkawal.
Jelasnya, kementerian sentiasa memantau serta menyelia harga dan ketersediaan barangan sepanjang tempoh konflik.

“KPDN Kuala Lumpur memberi jaminan bahawa bekalan keperluan harian adalah mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal.
“Pemantauan dijalankan secara menyeluruh di semua 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah Mohd Shahran lagi, seramai 168 pegawai penguat kuasa dan pemantau harga telah digerakkan bagi memantau tahap bekalan dan harga di seluruh ibu negara.
Pihaknya juga bekerjasama rapat dengan peruncit terpilih daerah (DDR) dan pemborong terpilih daerah (DDW) bagi memastikan barangan keperluan sentiasa mudah diperoleh di pasaran.
MENARIK DIBACA: Tak susah pun! Lelaki ini kongsi step untuk 'beginner' mahu belajar tanam sayur di rumah
MENARIK DIBACA: Jangan terjebak pembelian panik! Wanita ini kongsi tip persediaan supaya tak membazir
Selain itu, kementerian turut berhubung dengan syarikat pengeluar minyak bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi di semua stesen, termasuk di lebuh raya utama dan kawasan bandar.
“Pemantauan ke atas barangan kawalan di bawah Ops Tiris 4.0 bersepadu juga akan dipertingkatkan bagi membendung sebarang aktiviti penyelewengan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan ramai.