Tak susah pun! Lelaki ini kongsi step untuk 'beginner' mahu belajar tanam sayur di rumah
CADANGAN agar rakyat mula bercucuk tanam yang dibangkitkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini secara tidak langsung membuka mata ramai mengenai kepentingan menanam sayur sendiri di rumah.
Dalam masa sama, topik itu turut mendorong segelintir individu berkongsi pengalaman serta tip bercucuk tanam yang boleh dijadikan panduan kepada mereka yang baru ingin mencuba aktiviti tersebut.
Menerusi laman Threads, seorang lelaki turut berkongsi beberapa langkah mudah bagi membantu pemula memulakan tanaman sayur di rumah.

Malah dengan beberapa langkah asas serta pemilihan tanaman yang sesuai, sesiapa sahaja boleh mula menanam sayur walaupun hanya menggunakan pasu atau ruang kecil di sekitar rumah.
MENARIK DIBACA: Cadangan tanam sayur oleh Mat Sabu susulan konflik Asia Barat dikritik netizen – “Duduk flat tiada tanah macam mana?”
MENARIK DIBACA: 'Hantu laksa' musykil kena pantang makan lepas bersalin... Ramai kongsi kesan 'derhaka', doktor beri penjelasan
Cara mudah mula bercucuk tanam
- Sebagai permulaan kawasan tanah perlu dibersihkan terlebih dahulu dengan memotong rumput sehingga rapat dengan tanah.
- Selepas itu, kawasan tersebut boleh ditutup menggunakan kain penghalang rumput atau plastik hitam bagi menghalang pertumbuhan rumput liar serta memudahkan penjagaan tanaman.
- Sayur boleh ditanam menggunakan pasu plastik panjang yang disusun kemas di atas permukaan plastik hitam. Kaedah ini bukan sahaja nampak lebih teratur malah memudahkan proses menyiram dan memantau pertumbuhan pokok.
- Bagi medium tanaman pula, campuran tanah hitam, kompos, bahan organik dan sekam bakar adalah terbaik supaya tanaman mendapat nutrien yang mencukupi untuk membesar dengan baik.

Tanaman juga perlu disiram sama ada pada waktu pagi atau petang bagi memastikan tanah sentiasa berada dalam keadaan lembap.
Bagi mereka yang baru ingin mencuba, dia mencadangkan agar bermula dengan menanam sayur yang mudah hidup seperti kangkung, sawi dan bayam.
Selain sayur berdaun, terdapat juga beberapa tanaman dapur yang sesuai ditanam menggunakan pasu di rumah.
Antaranya termasuk pandan, kunyit, daun kari, halia dan kacang bendi yang sering digunakan dalam masakan harian.
Bagi mereka yang mempunyai sedikit ruang tanah pula, tanaman seperti lengkuas juga boleh dicuba dengan cara menggemburkan tanah terlebih dahulu sebelum menanam anak pokok tersebut.
Menariknya, lelaki itu turut berkongsi satu tip mudah untuk menyuburkan tanaman iaitu dengan menyiram tanah menggunakan air lebihan basuhan beras atau basuhan ikan kerana ia mengandungi nutrien semula jadi yang baik untuk pertumbuhan pokok.