“Balik dengan nasi kosong”… Warga asing dijerkah AJK surau gara-gara mahu tapau moreh
RAMAI menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan terbaik untuk berkongsi rezeki dan mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain.
Namun, seorang individu menerusi satu perkongsian di Threads meluahkan rasa kecewa selepas menyaksikan seorang warga asing dimarahi ketika ingin membungkus makanan moreh.
Menerusi perkongsian tersebut, individu berkenaan mendakwa kejadian itu berlaku ketika waktu moreh di mana surau berkenaan menyediakan hidangan sup kambing.
Menurutnya, seorang warga asing menyatakan hasrat mahu membungkus sedikit makanan, namun mendakwa tidak dibenarkan oleh ahli jawatankuasa (AJK) surau sehingga lelaki itu terpaksa pulang dengan nasi kosong sahaja.

"Sedih tengok tadi moreh sup kambing. Ada warga asing nak bungkus tapi AJK surau tak bagi. Baliklah dia dengan nasi kosong,” tulisnya.
Tambahnya lagi, sepanjang Ramadan tahun ini dia sering berbuka puasa di surau dan banyak bergaul dengan waga asing yang kebanyakannya bekerja sebagai buruh binaan.
Menurutnya, ramai antara mereka melakukan kerja berat di bawah panas terik tetapi tetap berpuasa seperti orang lain.
"Duduk dekat tapak binaan, satu kontena berpuluh orang. Setiap hari mereka tunggu makanan lebih untuk bungkus bawa balik kongsi dengan ahli rumah,” katanya lagi.
MENARIK DIBACA: 'Hantu laksa' musykil kena pantang makan lepas bersalin... Ramai kongsi kesan 'derhaka', doktor beri penjelasan
MENARIK DIBACA: Pengunjung Jalan TAR terkedu tengok 2 wanita Muslim warga asing makan secara terbuka, beri alasan uzur
Individu tersebut turut berpendapat warga asing itu sebenarnya tidak meminta banyak malah sekadar kuah pun sudah mencukupi.
Namun apa yang membuatkan dia lebih terkilan apabila lelaki berkenaan dimarahi di hadapan orang ramai.
"Dia bukan nak isi sangat dapat kuah pun okey. Tapi bila tengok dia kena jerkah depan orang ramai terfikir juga apa status kita di 10 malam terakhir Ramadan ni,” tulisnya.
Luahan tersebut bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi netizen. Ada yang bersetuju malah tidak kurang juga yang mempertahankan tindakan AJK surau.

Kata netizen, ada warga asing itu sudah beberapa kali mengambil kesempatan sehingga menyusahkan pihak yang menyediakan makanan.
"Sis baru tengok sekali orang tu dah hadap berhari-hari. Sesetengah warga asing suka ambil kesempatan sampai tahap menyusahkan. Penat AJK masak untuk ramai orang, datang dia bungkus sampai tinggal periuk memang kena jerkah lah.
"Kalau kau baik belilah lauk untuk mereka. Yang di surau tu biarlah orang yang datang makan habiskan. Bungkus sikit juga untuk mereka sebagai tanda saguhati.
"Ada masa terluang mintalah jadi sukarelawan. Nanti baru tahu macam mana nak uruskan warga asing yang kamu cakap tu," antara komen netizen.
Dalam masa sama, ramai juga yang bersimpati dengan warga asing tersebut dan merasakan perkara itu boleh diselesaikan dengan cara yang lebih berhemah.
"Paling tak suka tengok orang jerit pada warga asing. Ingat mereka tak ada hati perasaan ke? Cakap baik-baik boleh je.
"Boleh je bagi diorang ambil makanan dan tak elok sebenarnya di bulan yang mulia beza-bezakan jemaah. Tapi satu je nak kongsi saya ada pekerja warga asing, mereka disediakan tempat tinggal, pengangkutan, makan semua lengkap dan sikap mereka takkan belanjakan duit mereka. Simpan dan bawa balik kampung," kongsi netizen.