[V] Nourul Depp jatuh cinta dengan sambal matah, suami mat salih tak tahan pedas melampau
BERKAHWIN dengan jejaka berasal dari Perancis, penyanyi Nourul Depp tidak berdepan masalah untuk memenuhi selera makan suaminya.
Sepanjang hampir 15 tahun melayari alam rumah tangga, Nourul atau nama lengkapnya Noorul Huda Abdul Wahab berkata, suaminya, Eric Daniel Depp akan makan apa sahaja yang disediakan.
Bagaimanapun, kata penyanyi berusia 48 tahun itu, masakan yang disediakan perlulah memenuhi keperluan nutrisi dan berkhasiat.

"Alhamdulillah suami saya tak cerewet soal makan walaupun dia seorang warganegara Perancis.
"Dia makan apa sahaja yang saya masak, tapi masakan saya itu perlukan 'difusionkan'.
"Paling penting, masakan yang saya hidangkan itu perlu sihat dan berkhasiat dengan memenuhi keperluan tubuh manusia seperti karbohidrat dan protein," ujar wanita berkulit hitam manis itu.
MENARIK DIBACA: Sambal matah mudah nak buat, layan dengan nasi panas dah tak toleh kiri kanan
MENARIK DIBACA: Umur 60 tahun masih cun macam anak dara, Sasha Aziz kongsi amalan pemakanan ibu
Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Kerana Terluka ini, walaupun suaminya tidak cerewet soal makan, namun dia tidak tahan dengan kepedasan melampau.
"Saya ajar dia makan semua makanan seperti masakan India.
"Makanan dari Negeri Sembilan (masak lemak cili api) pun dia boleh, cuma jangan terlalu pedas.
"Sebab kalau pedas sangat, suami saya akan tersedu (hiccup)," katanya ketawa.
Mengambil keputusan untuk berhijrah ke Bali, Indonesia lima tahun lalu, katanya, dia sudah mula jatuh cinta dengan beberapa masakan tempatan, antaranya sambal matah.

Ujarnya, sambal matah yang juga merupakan resipi asli dari Bali itu sangat sedap dan menjadi antara makanan kegemarannya.
"Saya sangat suka sambal matah dari Bali, memang sedap.
"Di sana mereka gunaan sejenis cili dipanggil cabe rawit, 'level' pedasnya memang 'power'.
"Kalau bandingkan cili di Malaysia, saya dah tak rasa apa dah," jelas Nourul.