Dengar anak meronta baru ibu tersedar... Doktor imbau kes pilu budak maut tercekik doh kuih, kongsi senarai makanan berisiko untuk si kecil
TRAGEDI kanak-kanak maut tercekik makanan pasti menjadi mimpi ngeri yang menghantui setiap ibu bapa.
Dalam sekelip mata, kegembiraan boleh bertukar menjadi detik paling menyayat hati apabila sesuatu yang dianggap biasa dan tidak berbahaya sebenarnya membawa risiko besar kepada nyawa anak kecil.
Apatah lagi sekiranya kejadian itu berlaku ketika keluarga sedang sibuk menyediakan juadah atau menikmati hidangan bersama seperti pada musim perayaan.
Perkara ini pernah dikongsikan oleh seorang pegawai perubatan pediatrik, Dr Redza Zainol menerusi laman Threads miliknya.

Menurutnya, pengalaman berdepan kes kanak-kanak meninggal dunia akibat tercekik makanan itu menjadi antara momen sukar ketika bertugas.
"Musim raya beberapa tahun lepas, saya pernah dapat kes kanak-kanak kecil meninggal dunia disebabkan tercekik doh kuih.
"Doh yang belum dimasak lagi tu dia masukkan dalam mulut.
"Ibunya sedang sibuk di dapur dan anaknya yang berusia dua tahun lebih tu sedang bermain di ruang makan.
"Ibunya ada buat doh kuih dan diletakkan di atas meja. Mungkin meja tu rendah sikit jadi anak kecil ni boleh capai doh tu," kongsinya.
MENARIK DIBACA: 5 makanan ini punca ekzema makin teruk, jika tak elak boleh menggaru sampai luka
MENARIK DIBACA: Pengunjung Jalan TAR terkedu tengok 2 wanita Muslim warga asing makan secara terbuka, beri alasan uzur
Tambahnya, kisah yang diceritakan oleh ibu kepada kanak-kanak tersebut sangat meruntun perasaan sehingga sukar untuk didengari hingga ke penghujungnya.
"Kalau ikutkan hati, memang dah tak sanggup saya nak dengar cerita si ibu ni sampai habis. Tapi nama pun sedang bertugas, saya dengar juga sampai habis.
"Bila dengar bunyi anak tu meronta-ronta, barulah ibunya tersedar. Sedihnya, budak tu dah tak bernyawa bila sampai di hospital,” kongsinya lagi.

Perkongsian tersebut menjadi peringatan penting kepada ibu bapa agar lebih berhati-hati dengan jenis makanan yang diberikan kepada anak kecil khususnya kanak-kanak berusia bawah empat tahun berisiko tinggi mengalami insiden tercekik.
Menurutnya, terdapat beberapa jenis makanan yang sering menjadi punca kejadian tercekik kerana bentuknya yang kecil, keras atau mudah menyumbat saluran pernafasan.
Antara makanan yang berisiko termasuklah bertih jagung, sosej, sayur mentah, kismis dan gula-gula getah.
Selain itu, makanan seperti kacang dan bijian, ketulan keju serta buah anggur yang belum dipotong juga boleh membahayakan kanak-kanak jika tidak disediakan dengan cara yang betul.
Bagaimanapun, Dr Redza menjelaskan bahawa makanan tersebut bukanlah dilarang sepenuhnya untuk kanak-kanak. Sebaliknya, ibu bapa perlu memastikan ia disediakan dalam bentuk yang lebih selamat.
"Bukannya tak boleh langsung nak beri buah anggur atau kismis pada anak. Cuma kita kena hiris memanjang dan hiris nipis-nipis.
"Bukan potong secara melintang, sebab bentuk bulat tu masih berisiko untuk buatkan salur pernafasan tersumbat dan menyebabkan anak tercekik,” jelasnya lagi.