Peniaga bazar luah cabaran Ramadan, dahulukan gaji pekerja sampai terpaksa keluar duit poket sendiri
SETIAP kali bulan Ramadan, berniaga di bazar sering dianggap sebagai peluang untuk meraih pendapatan lumayan dalam tempoh singkat.
Namun di sebalik tanggapan itu, tidak semua peniaga melalui pengalaman manis kerana ada juga yang terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk kos operasi tinggi serta faktor cuaca tidak menentu.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang peniaga bazar Ramadan dikenali sebagai Hamba Allah menerusi satu perkongsian di Threads apabila meluahkan realiti sebenar berniaga sepanjang bulan puasa tahun ini.

Menurutnya, dua minggu pertama Ramadan amat mencabar terutama di sekitar Kuala Lumpur (KL) apabila hujan lebat dan ribut menyebabkan khemah jualan rosak berulang kali.
"Saya salah seorang peniaga bazar tahun ni. Dugaan betul-betul mencabar. Dua minggu pertama cuaca tak cantik, lagi-lagi di kawasan KL ada sampai ribut. Hari ni patah, perbaiki khemah esok patah lagi," kongsinya.
Walaupun berdepan kesukaran, dia tetap bersyukur kerana masih mampu membayar gaji tujuh pekerja termasuk adiknya dengan jumlah upah harian sekitar RM550.
MENARIK DIBACA: Wanita guna ‘dark chocolate’ seimbang rasa pedas, katanya masakan jadi lebih berlemak
MENARIK DIBACA: Quesillo mula jadi pilihan, ada beza dengan puding karamel
Bagaimanapun, sehingga hari ke-20 Ramadan dia masih belum mengambil gaji sendiri kerana hasil jualan hanya cukup untuk menampung kos pusingan perniagaan termasuk pembelian bahan mentah setiap hari.
"Modal sehari termasuk barang hampir RM1,200. Jadi kalau jualan bawah RM1,200 memang sakit. Ada juga beberapa hari hujan lebat sampai jualan bawah RM1,000 jadi terpaksa tambah duit poket sendiri untuk modal esok," ujarnya.

Tambahnya lagi, makanan tak habis dijual pula biasanya akan disedekahkan ke masjid atau surau untuk juadah moreh kerana tidak boleh lagi disimpan.
Menjalankan perniagaan di bazar sejak arwah bapanya masih hidup, lelaki itu mengakui tahun ini antara yang paling memberi kesan daripada segi jualan dan keuntungan.
Malah dia juga mengakui belum membuat sebarang persiapan Hari Raya seperti tahun-tahun sebelumnya dan hanya mampu berharap agar rezeki peniaga bazar dipermudahkan pada 10 malam terakhir Ramadan ini.
Perkongsian itu turut dirasai peniagab bazar lain berhadapan dengan cabaran sama dalam mencari rezeki.

"Berniaga apa bang, saya pun jualan kurang tahun ni berbanding 2025 tapi orang ramai je. Mungkin tahun ni bajet pelanggan ada had dan lagi rela masak untuk jimat.
"Samalah, tahun ni berniaga berbeza dari tahun sebelumnya. Memang ketara perniagaan menurun, semoga ada rezeki kita semua.
"Betul tahun ni sangat mencabar, pelanggan mula ramai tapi macam tak ada apa-apa sebab tak boleh tampung jualan yang menurun masa awal berniaga," antara komen netizen.