Peserta Malaysia menang cabaran MasterChef, menu roti canai cecah kari sambil tonton Piala Dunia tambat hati juri
SELEPAS hidangan roti john menjadi perhatian dalam rancangan MasterChef Australia 2026, seorang lagi peserta kelahiran Malaysia mengharumkan nama negara apabila sajian roti canai dihasilkannya muncul juara cabaran mingguan program masakan popular itu.
Jaime Tan, 27, berjaya menewaskan peserta dari beberapa benua lain menerusi hidangan roti canai bersama kari, nasi lemak dan jelatah dalam MasterChef Musim ke-16: Global Gauntlet.
Hidangan itu disediakan Jaime untuk cabaran 'World Cup Cookoff' yang memerlukan peserta menghasilkan makanan terbaik untuk dinikmati ketika menonton perlawanan bola sepak piala dunia.
Pada mulanya, hidangan Jaime dipilih sebagai yang terbaik bagi rantau Asia-Pasifik sebelum berjaya menewaskan juara dari Eropah, Afrika dan Amerika untuk muncul pemenang keseluruhan cabaran.

Kemenangan itu membolehkan Jaime membawa pulang kad hadiah Home Depot bernilai AS$2,500 (RM10,000) berserta Pin Imuniti yang memberikannya perlindungan daripada penyingkiran dalam cabaran akan datang.
Ketika ditanya oleh juri, Jaime mengakui roti canai merupakan pilihan yang agak berisiko memandangkan proses penyediaannya mengambil masa beberapa jam.
Bagaimanapun, dia tetap berusaha gigih menyahut cabaran itu walau hanya diberikan masa selama 60 minit untuk menyiapkan keseluruhan hidangan.
"Saya sebenarnya takut untuk menyediakan hidangan ini kerana biasanya ia mengambil masa lebih lapan jam untuk disiapkan," katanya.
MENARIK DIBACA:Roti John ‘mendonia'! Peserta MasterChef Australia dari Malaysia curi perhatian juri
MENARIK DIBACA:[V] Juri MasterChef India terpana lihat peserta kudung dua tangan handal memasak
Usahanya mendapat pujian daripada para juri khususnya Gordon Ramsay, yang kagum melihat keberanian Jaime menyediakan roti canai dalam tempoh singkat.
"Ia kelihatan cantik. Apa yang paling mengagumkan saya ialah hidangan ini biasanya mengambil masa berjam-jam untuk disediakan, namun anda mempunyai keyakinan untuk mencubanya malam ini.
"Karinya sangat lazat. Ia harum, hangat, sedikit masam. Rasanya seperti anda telah memasaknya selama enam jam. Syabas," kata Gordon.
Bagi Jaime, kemenangan itu bukan sekadar kejayaan, sebaliknya penghargaan buat keluarga serta peluang memperkenalkan makanan Malaysia kepada penonton antarabangsa.
MasterChef Musim ke-16: Global Gauntlet adalah edisi terbaru rancangan memasak terkenal itu yang bermula pada 15 April 2026.
Ia berkonsepkan pertandingan bertaraf dunia dengan 20 peserta mewakili empat rantau iaitu Asia Pasifik, Eropah, Afrika dan Benua Amerika yang bersaing dalam cabaran bertema Piala Dunia.