[V] Juri MasterChef India terpana lihat peserta kudung dua tangan handal memasak
KEKURANGAN fizikal bukan penghalang untuk seseorang mengejar impian, malah ada kalanya menjadi kekuatan luar biasa yang membuka mata masyarakat.
Cef dari Nepal, Ratna Bahadur Tamang, mencuri perhatian dunia selepas menyertai rancangan realiti masakan terkenal, MasterChef India musim ke-10 yang disiarkan pada awal 2026.
Dia dijemput oleh penerbit untuk menghadiri sesi uji bakat bersama peserta lain dari pelbagai latar belakang.
Saat melangkah masuk ke dapur pertandingan itu Ratna bukan sahaja membawa hidangan tetapi 'menghidangkan' kisah perjuangan penuh inspirasi.

Tiga juri juga cef selebriti terkemuka India, Ranveer Brar, Vikas Khanna dan Kunal Kapoor terpukau [Tonton video] melihat cara Ratna menyediakan hidangannya dengan penuh teliti walaupun kekurangan dari aspek fizikal.
Malah Ranveer Brar menganggap Ratna sebagai bukti bahawa rasa tidak terletak pada tangan, tetapi pada impian dan keberanian seseorang sebagai penghargaan terhadap usaha Ratna.
MENARIK DIBACA: Suami jangan tahu mengarah jer! Guna cara halus ini, isteri memang ‘auto’ rajin ke dapur
MENARIK DIBACA: [V] Wanita terberanak dalam kereta ketika makan kurma, rupanya ramai ibu makan tamar nak mudah bersalin
Kini dari dapur rumah Ratna di Kathmandu, dia meneruskan kehidupan dengan berkongsi video masakan di media sosial untuk menyara keluarganya sambil membawa mesej jelas kepada dunia bahawa kekurangan upaya tidak pernah menjadi penghalang untuk seseorang mengejar impian.
Pada 2015, Ratna kehilangan kedua-dua tangannya selepas terkena renjatan elektrik dalam satu kemalangan tragis.

Insiden itu memaksanya menjalani beberapa pembedahan yang hanya mampu menyelamatkan sebahagian lengannya.
Kehilangan kedua-dua belah tangan membuatkan Ratna melalui tempoh sukar dalam hidupnya bahkan dia mengakui hatinya pernah hancur sehingga hampir berputus asa selepas kejadian berkenaan.
Namun Ratna juga menyedari dia hanya mempunyai tiga pilihan dalam hidup sama ada menamatkan riwayatnya, hidup dengan meminta sedekah atau bangkit meneruskan kehidupan dengan maruah dan semangat.

Ini 8 fakta ringkas Ratna Bahadur Tamang
1. Berasal dari latar belakang keluarga yang sederhana.
2. Sejak muda minat dengan dunia masakan dan bekerja sebagai tukang masak.
3. Kehidupannya berubah selepas kemalangan tragis akibat terkena renjatan elektrik pada 2015, menyebabkan kedua-dua tangannya terpaksa dipotong.
4. Dia kemudian belajar semula cara memasak menggunakan lengan yang tinggal serta pelbagai teknik kreatif termasuklah menggunakan 'hook' logam pada tangan.
5. Ratna mengambil masa bertahun-tahun berlatih semula sebelum yakin memasak untuk orang lain.
6. Kini mampu memotong bahan, mengacau masakan dan menyediakan hidangan.
7. Dalam MasterChef India musim ke-10 dia muncul sebagai peserta di peringkat uji bakat.
8. Barisan juri menyifatkan Ratna sebagai wira sebenar dan memberikan apron MasterChef yang ditandatangani sebagai penghargaan.
9. Dia kemudian dijemput kembali sebagai tetamu khas dalam rancangan tersebut.
10. Ratna kini aktif berkongsi video masakan dan impi buka studio dapur sendiri di Nepal bagi meneruskan minatnya dalam dunia kulinari.