‘Food hunting’ kini lebih mudah, Grab-Tourism Malaysia bekerjasama senaraikan 'port' makan terbaik negara
USAHA mempromosikan kepelbagaian makanan tempatan kepada pelancong diperkukuh apabila Grab Malaysia memperkenalkan 5-Star Eats, panduan makanan dalam aplikasi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026).
Inisiatif itu turut mendapat pengiktirafan Tourism Malaysia melalui kerjasama strategik bagi menyokong pembangunan sektor gastropelancongan negara.
Inisiatif ini direalisasikan selepas Grab Malaysia sedar makanan merupakan faktor penting dalam pemilihan destinasi pelancongan untuk 'kaki travel'.
Kajian menunjukkan kira-kira 87 peratus pelancong memilih destinasi berdasarkan keunikan makanan tempatan yang ditawarkan.

Melalui 5-Star Eats, pengguna boleh meneroka restoran dan tempat makan popular di Malaysia berdasarkan jutaan ulasan jujur pelanggan dalam aplikasi Grab.
Peniaga yang menerima penilaian tinggi secara konsisten akan diberikan lencana 5-Star Eats sebagai pengiktirafan terhadap kualiti makanan dan perkhidmatan mereka.
Pengarah komersial dan penghantaran Grab, Tan Jiong Jian berkata inisiatif itu memudahkan pelancong mencari hidangan tempatan terbaik, sama ada lokasi makanan tersembunyi atau destinasi kulinari yang terkenal.
MENARIK DIBACA: Tekap daun kubis bantu redakan masalah bengkak susu, ikuti langkah mudah ini
MENARIK DIBACA: Cuaca tak menentu jejas jualan, ini cabaran peniaga bazar Ramadan
"Makanan merupakan nadi pengalaman di Malaysia dan kami ingin memastikan setiap pelancong dapat merasai hidangan terbaik yang ditawarkan negara kita.
"Dengan menjadikan berjuta maklum balas tulen sebagal peta digital, 5-Star Eats memudahkan pelancong untuk menjelajahi segala-galanya daripada kegemaran tempatan yang tersembunyi hingga ke mercu tanda ikonik, hanya dengan beberapa klik.
"Melalui kerjasama dengan Tourism Malaysia, kami menjadikannya lebih mudah berbanding sebelumnya bagi setiap pelancong untuk menelusuri landskap gastronomi Malaysia," katanya.

Bagi menandakan pelancaran inisiatif itu, Grab turut memperkenalkan mural Grab 5-Star Eats di Jalan Hang Kasturi berhampiran Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Mural yang dihasilkan pelukis tempatan, Nasuha Ibrahim itu menampilkan elemen visual yang meraikan kepelbagaian makanan dan budaya Malaysia.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu pelancong mencari tempat makan terbaik, malah memberi pengiktirafan kepada peniaga makanan tempatan yang menerima ulasan cemerlang daripada pelanggan.
Langkah itu juga dilihat mampu memperkukuh ekosistem kulinari tempatan dan menyokong pertumbuhan industri pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Antara peniaga tempatan 5-Bintang yang turut diiktiraf antaranya restoran Nasi Lemak Basmathi Klang, Goreng Pisang Dengkil Sambal Kicap Johor, Deens Maju Nasi Kandar Pulau Pinang, Nasi Ayam Kee Chup Johor Bahru dan Village Park Restaurant Lembah Klang.