Masak lemak siput sedut beli untuk anak pedas berapi, bapa kesal peniaga temberang!
LEBIH dua minggu berpuasa, isu berkaitan makanan dibeli di bazar Ramadan masih hangat jadi bualan.
Setiap hari ada saja kisah yang dikongsikan, sama ada pengalaman manis menikmati juadah berbuka atau sebaliknya yang mana makanan dibeli tidak seperti diharapkan.
Terbaharu, seorang pengguna Threads berkongsi rasa kecewa selepas membeli siput sedut di sebuah bazar Ramadan di Johor Bahru, Johor.
Lelaki itu berkata, ketika hendak membeli masak lemak siput sedut daripada peniaga bazar berkenaan, dia beberapa kali bertanya sama ada lauk itu pedas atau tidak kerana mahu membeli untuk anaknya.

"Untuk kakak berniaga siput sedut di bazar BBU (Bandar baru Uda), saya rasa akak mesti kenal saya. Saya yang tanya banyak kali, siput sedut ni pedas tak? Anak saya suka makan ni.
"Dekat tiga hingga empat kali saya tanya dan jawapan akak tetap sama tak pedas langsung, budak-budak boleh makan," kongsinya.
Bagaimanapun selepas mencuba hidangan tersebut, dia mendapati rasa siput sedut sangat pedas hingga sukar dimakan oleh dirinya sendiri.
MENARIK DIBACA: Suami jangan tahu mengarah jer! Guna cara halus ini, isteri memang ‘auto’ rajin ke dapur
MENARIK DIBACA: [V] Wanita terberanak dalam kereta ketika makan kurma, rupanya ramai ibu makan tamar nak mudah bersalin
"Bulan puasa pun nak membohong. Saya sendiri tak boleh tahan pedas siput sedut awak jual, apa lagi anak saya.
"Kesian anak saya hujung-hujung makan berkongsi lauk dengan abang dia," ceritanya lagi.
Lelaki itu berkata, peniaga sepatutnya mampu membezakan tahap kepedasan lauk yang dimasak, sama ada pedas melampau, sederhana atau tahap boleh dimakan oleh kanak-kanak.
"Beza sangat pedas budak-budak boleh makan dengan betul-betul pedas. Ni memang nak menipu.

"Kena pula saya beli waktu tu dia (peniaga) baru buka, memang nak menjual je lah," katanya lagi.
Dalam masa sama, dia turut tidak berpuas hati kerana mendakwa harga yang dibayar tidak setimpal dengan saiz hidangan diterima.
"Siput sedut saya beli semalam (Rabu) dua senduk kecil, RM10. Siput dah la kecil-kecil, geram betul," katanya.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi pengguna lain yang turut berkongsi pengalaman membeli makanan di bazar Ramadan.

Ada yang berpendapat siput sedut masak lemak cili padi kebiasaannya dimasak pedas.
"Siput sedut masak lemak kalau orang meniaga buat mestilah pedas. Sebab tu saya pilih buat sendiri sebab tak makan pedas.
"Kalau pedas tolonglah cakap pedas dan tak sesuai untuk budak makan. Kesian tau beli lauk untuk mereka tapi akhirnya tak boleh makan.
"Jangan percaya kalau dia (peniaga) cakap tak pedas, tu saya bising dekat satu komen saya cakap peniaga-peniaga ni ada tak jujur, makanan tak sedap, ramai tak terima.," antara komen netizen.