Gerai jagung diserbu pelancong serata dunia gara-gara 'owner' kacak, jadi lokasi wajib kunjung di Turkiye
SEBUAH gerai menjual jagung dan buah berangan yang terletak di pinggir jalan di Istanbul, Turkiye penuh dengan pelanggan.
Selain mahu membeli jagung dan buah berangan, pelanggan yang sanggup beratur panjang itu turut mempunyai keinginan lain, iaitu untuk bergambar dengan penjualnya, Alper Temel.
Alper terkenal dalam kalangan pelanggan kerana wajahnya dianggap sangat tampan persis model iklan antarabanga, selain sikapnya yang mesra dan ramah dengan sesiapa sahaja.

Memetik laporan dari CNN Travel, pemuda berusia 25 tahun itu menguruskan gerai kecil milik keluarganya bersama dua saudara lelaki sejak tujuh tahun lalu.
Digelar 'handsome corn seller' (penjual jagung tampan), gerainya mula menjadi tumpuan pelancong selepas video memaparkan dirinya melayan pelanggan tular sejak 2024.
Selepas video tersebut tersebar ke seluruh dunia, lokasi gerainya menjadi terkenal dan mula menjadi perhatian pelancong yang datang ke Istanbul.
MENARIK DIBACA: Cara wanita ini ajar cara buat donat 'step by step' dipuji, ramai teruja nak cuba - "Bagusnya bagi resipi detail"
MENARIK DIBACA: Daging dah biasa... Cuba makan nasi lauk lidah lembu goreng berlada, pasti bertambah
Populariti luar biasa yang diraih itu sekali gus menjadi daya tarikan baharu terhadap perniagaan makanan jalanan yang diusahakan keluarganya sejak lebih 15 tahun lalu.
Bahkan lokasi gerai yang terletak di pesisir kota bersejarah, Karakoy itu juga menjadi semakin popular dan menerima kunjungan pelancong yang luar biasa.
Tidak cukup dengan itu, pemandu pelancong di sana juga memasukkan gerai jualan jagung miliknya dalam senarai lokasi wajib dilawati pelancong yang berkunjung ke Istanbul.

Popularitinya yang sangat besar juga membuatkan sebuah portal digital terkenal di Turkiye, Fayn Studio menobatkan Alper sebagai 'Man of The Year 2025' atas impak besarnya terhadap industri pelancongan tempatan.
Walaupun sudah dikenali ramai di seluruh dunia, Apler masih mengekalkan sikap merendah diri, malah harga jagung yang dijual juga tidak berubah iaitu antara 50 hingga 70 Lira (RM7 hingga RM10) setongkol.
Manakala buah berangan panggang pula dijual pada harga 100 Lira (sekitar RM14) untuk setiap 100 gram.
Harga makanan jalanan yang dijualnya dianggap sangat murah dan mengikut standard harga di Istanbul.