Jangan keliru, nampak macam sama tapi ada beza antara semua jenis gula ini
KALAU sebut pemanis semula jadi, yang terlintas di fikiran pastinya gula Melaka.
Gula Melaka ini diperbuat daripada nira pokok kelapa yang dimasak sehingga pekat dan kemudian dibentuk menjadi blok atau ketulan.
Pun begitu, pernah dengar tak ada juga yang menambah rasa masakan menggunakan gula kabung atau nise?
Agak-agak sama atau lain? Sebenarnya masih ramai keliru perbezaan antara jenis gula ini.
Jom Kuali jelaskan sedikit mengenai gula-gula ini.

Nise atau orang Pantai Timur biasa panggil nisan gula kerek ini sebenarnya diperbuat daripada nira kelapa.
Teksturnya lembut, mudah dipatahkan dan cair apabila dimasak.
Salah satu cara nak tahu sama ada nise asli atau tidak adalah apabila diketuk ia tidak mengeluarkan hakisan putih-putih.
Sekiranya hakisan putih keluar itu bermakna ada campuran gula putih.
MENARIK DIBACA: Pengunjung Jalan TAR terkedu tengok 2 wanita Muslim warga asing makan secara terbuka, beri alasan uzur
MENARIK DIBACA: "Orang India tak boleh makan" - Netizen harmoni selesai 'isu' bubur lambuk, siap 'offer' tolong masak
Berbeza pula dengan gula kabung yang diperbuat daripada nira pokok kabung.
Hasilnya lebih renyah dan baunya lebih wangi berbanding nise.
Apabila kedua-duanya berada dalam bentuk keras bulat memang ramai akan keliru sehinggakan ada yang memanggil gula kabung sebagai gula Melaka.
Tapi bagi yang biasa guna, perbezaan rasa dan aroma memang jelas.

Bercakap tentang rasa, nise mempunyai citarasa butterscotch caramel lebih kurang seperti gula perang.
Sementara gula kabung pula rasanya sangat unik dan menarik, hampir menyerupai molasses tetapi lebih ringan.
Ia kurang manis berbanding nise, jadi kalau hendak letak dalam kek atau pencuci mulut perlu tambahkan sedikit lebih untuk mencapai tahap kemanisan biasa.
Kedua-dua jenis gula ini boleh digunakan sebagai pengganti gula putih sesuai untuk mereka yang ingin menjaga kesihatan.
Cuma harganya agak mahal sedikit tapi berbaloi kerana kedua-duanya mempunyai khasiat yang lebih baik berbanding gula putih biasa.
Jadi, selepas ini tak perlu lagi keliru bila terlihat nise atau gula kabung di kedai atau pasar raya.
Pilih sahaja mengikut citarasa serta kegunaan dan nikmati manisan semula jadi yang lebih sihat.
