Pasukan Lotus's Malaysia menang besar di Thailand Ultimate Chef Challenge, tewaskan 400 cef seluruh Asia
PASUKAN Lotus’s Malaysia mencipta sejarah di pentas kulinari antarabangsa apabila berjaya meraih pingat emas dan dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori berkumpulan di Thailand Ultimate Chef Challenge (TUCC) 2026 edisi ke-12 yang berlangsung di Bangkok.
Diadakan pada 26 hingga 30 Mei lalu, kejohanan itu menyaksikan pasukan Malaysia diwakili tiga cef profesional iaitu Chef Muhammad Syafiq Syahmi Saidon, Chef Leo Wong dan Chef Yuventhiran Pillai yang juga pemenang Kategori Profesional Masak-Masak Ceria 2025 anjuran Lotus’s Malaysia.

Pertandingan yang diadakan di Impact Muang Thong Thani itu turut menghimpunkan lebih 400 cef dari seluruh Asia dan negara lain untuk merebut pengiktirafan tertinggi dalam salah satu pertandingan kulinari paling berprestij di rantau ini.
Pasukan Lotus’s Malaysia menyerlah apabila menjadi satu-satunya pasukan yang menerima pingat emas dalam kategori berpasukan.
MENARIK DIBACA: [V] Ikut bapa berniaga sejak kecil, Donna Muslim sambung bisnes popia keluarga
MENARIK DIBACA: Selepas 11,000 kes keracunan makanan, ketua program makanan percuma dipecat
Paling membanggakan apabila Lotus's Malaysia yang pertama kali menyertai kejohanan tersebut turut diumumkan sebagai juara keseluruhan kategori berpasukan selepas meraih markah kumulatif tertinggi dalam kategori tersebut.
Bertanding dalam Asian Gourmet Challenge, pasukan ini berjaya memukau para juri dengan menu yang disusun teliti, meraikan warisan kulinari pelbagai budaya Malaysia menerusi inovatif dan persembahan yang menarik.
Antara hidangan yang dipersembahkan ialah Salad Gulung Kerabu Pucuk Paku dengan Emulsi Kelapa Panggang, Mousseline Otak-Otak Ikan Kembung bersama Sos Otak-Otak, Sup Tom Yam dengan Mozaik Udang, Patty Kambing Diperap dan dimasak dalam Sos Rogan Josh, Ayam “Boxing” bersama Kari Masala Hijau.

Pasukan Lotus's Malaysia turut menghidangkan pencuci mulut Leum Kleun Lava dengan Semi-Freddo Teh Thai dan Teh Thai Hijau Buih.
Kejayaan ini mencerminkan keberkesanan platform Masak-Masak Ceria dalam mencungkil dan membangunkan bakat kulinari tempatan.
Sebagai pertandingan kulinari utama Lotus’s Malaysia, Masak-Masak Ceria menyediakan ruang kepada cef profesional dan bakat kulinari yang sedang meningkat naik untuk mengasah kemahiran serta mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Selepas dinobatkan sebagai juara Kategori Profesional Masak-Masak Ceria 2025, ketiga-tiga cef tersebut kini berjaya mengukir nama di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia di persada kulinari global.
Ketua Pegawai Eksekutif Lotus’s Malaysia, Saksit Panurach berkata, pencapaian ini merupakan momen membanggakan bagi pasukan Lotus’s Malaysia dan juga industri kulinari negara secara keseluruhannya selepas memenangi satu-satunya pingat emas bagi kategori berpasukan dan juara keseluruhan dalam kategori sama.
"Apa yang menjadikan kemenangan ini lebih istimewa ialah penyertaan Pasukan Lotus’s Malaysia dalam Thailand Ultimate Chef Challenge ini merupakan yang pertama.
"Bersaing dengan lebih 400 cef dari seluruh rantau dan muncul sebagai pasukan dengan markah tertinggi pada penampilan sulung kami membuktikan bakat, dedikasi dan semangat kerja berpasukan yang luar biasa dalam kalangan cef kami," katanya.