[V] Ramai sanggup beratur panjang demi nasi goreng 'simple', tukang masak tak menang tangan
HIDANGAN yang ditawarkan di sebuah gerai kecil di pinggir jalan ini nampak cukup sederhana iaitu nasi goreng ala Cina.
Tapi hairannya, pelanggan sentiasa penuh malah mereka sanggup beratur panjang semata-mata untuk menikmati nasi goreng yang dijual.
Gerai ini pasti punya keistimewaan tersendiri walau cuma 'mempertaruhkan' nasi goreng.
Berkesempatan berkunjung ke gerai yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu, penulis kagum melihat kesabaran pelanggan yang sanggup beratur panjang untuk merasai keistimewaa nasi goreng di Wok Kang Egg Fried Rice.

Huzaifah, salah seorang rakan kongsi perniagaan tersebut berkata idea untuk membuka bisnes nasi goreng ala Cina itu tercetus selepas dia 'jatuh cinta' dengan keenakan nasi goreng tersebut sewaktu makan di sebuah restoran Cina Muslim.
"Saya mendapat inspirasi untuk jalankan perniagaan nasi goreng ini selepas makan di sebuah kedai Cina Muslim.
"Cuma satu menu sahaja yang dijual iaitu nasi goreng telur (egg fried rice) ala Cina.
"Tapi rasanya memang sangat 'wow', sedap dan kaya dengan rasa sehingga membuatkan saya teringat-ingat," katanya.
MENARIK DIBACA: Dahsyat! Cuma satu perkataan, peniaga makanan untung besar bila TokTi 'bersuara' di media sosial
MENARIK DIBACA: 5 bahan asas masakan di dapur anda mungkin tiruan, ini cara mudah uji keasliannya
Memandangkan Huzaifah ada menjalankan perniagaan minuman, Kopi Saigon, dia menggunakan 'otak bisnesnya' dengan mengkaji cara menarik pelanggan mengenali nasi goreng ala Cina dalam versi halal.
Bagi merealisasikan impian tersebut, dia bertemu seorang kenalan lamanya yang sebelum ini pernah bekerja di sebuah restoran Cina Muslim di Singapura untuk berbincang.
"Saya cadangkan idea untuk buat bisnes nasi goreng telur ala Cina dan dia bersetuju.
"Jadi kami sama-sama buat beberapa kajian untuk mencari resipi terbaik sebelum lahirnya Wok Kang Egg Fried Rice.
"Untuk permulaan kami cuba-cuba dahulu, kalau menjadi Alhamdulillah tapi jika gagal kami hanya rugi sedikit sahaja," jelasnya.

Di Wok Kang Egg Fried Rice, gerai ini cuma menawarkan nasi goreng ala Cina sahaja dengan tiga jenis masakan berbeza iaitu Wok Kang Signature, Shanghai Style dengan sos istimewa dan Chili Fried Rice yang lebih dekat dengan tekak orang Malaysia.
Disebabkan permintaan pelanggan yang sangat menggalakkan, dalam sehari Wok Kang Egg Fried Rice mampu menjual antara 250 hingga 300 bungkus nasi setiap hari.
Dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 6 petang, Wok Kang Egg Fried Rice menawarkan nasi goreng ala Cina serendah RM7.90 dengan tiga pilihan protein iaitu 'roasted chicken' (RM10.90), 'beef steak' (RM11.90) dan 'seasoned prawn' (RM13.90).