Cara masak sotong goreng kunyit tekstur sempurna... Isi lembut, tak liat
SOTONG goreng kunyit antara lauk ringkas yang sering menjadi pilihan ramai kerana rasanya yang sedap ditambah pula dengan aroma menyelerakan.
Dimasak dengan hirisan bawang, serai, halia serta cili merah dan cili padi, hidangan ini menawarkan rasa pedas dan sensasi masam yang cukup membuka selera.
Sebagai panduan, sotong tidak perlu digoreng terlalu lama untuk mengekalkan teksturnya yang lembut dan mengelakkannya daripada liat.
Jika tercari-cari idea lauk ringkas, apa kata cuba resipi sotong goreng kunyit ini yang mudah disediakan di rumah.

Bahan-bahan:
- 500g sotong (dibersihkan dan dipotong kecil)
- 1 biji bawang merah (dihiris)
- 3 ulas bawang putih (dihiris)
- 1 batang serai (dititik)
- 2-3 tangkai cili merah (dihiris)
- Cili api (secukupnya)
- 1/2 inci halia (dihiris)
- 1 sudu besar serbuk kunyit
- Garam/Perasa
- Air asam jawa (secukupnya)
- Minyak masak
MENARIK DIBACA: Kecewa bayar beratus ringgit, dapat sotong hangit! Kuantiti pun meragukan
MENARIK DIBACA: Ada rahsia sambal sotong petai bertambah sedap, memang bertambah nasi!
Langkah penyediaan:
- Gaul sotong dengan serbuk kunyit dan garam secukupnya, kemudian reneh dalam periuk tanpa minyak untuk keringkan air. Jangan terlalu lama supaya sotong tidak liat.
- Panaskan minyak, tumis bawang merah, bawang putih, serai dan halia sehingga naik bau.
- Masukkan sotong dan sedikit air sotong jika ada. Gaul sehingga sebati.
- Masukkan air asam jawa dan perasakan dengan garam serta serbuk perasa secukupnya.
- Masukkan hirisan bawang besar, cili merah dan cili padi yang diketuk. Gaul sehingga semua bahan sebati.
- Siap dan sedia untuk dihidangkan.