Kecewa bayar beratus ringgit, dapat sotong hangit! Kuantiti pun meragukan
SIAPA tak kecewa selepas berhabis hingga beratus-ratus ringgit, namun kualiti dan rasa makanan yang dibeli tidak setimpal dengan harganya.
Demikian situasi dlalui seorang wanita yang kecewa dan marah dengan sikap peniaga di sebuah kedai makanan laut yang terletak di Pantai Klebang, Melaka.
Menerusi hantaran yang dikongsikan di Threads, pelanggan tersebut meluahkan rasa tidak puas hati selepas berhabis sebanyak RM233, namun makanan yang diterima didakwa tidak setanding dengan harga yang perlu dibayar.
Selain makanan, wanita itu turut mendakwa layanan di kedai tersebut juga sangat teruk.

"Jangan makan dekat kedai seafood ini kalau pergi ke Pantai Klebang.
"Bayar RM233, tapi layanan dan ambil pesan semua macam hampeh!" kongsinya.
Kata wanita tersebut, antara perkara paling membuatkan dia kecewa adalah menu sotong celup tepung yang didakwa hangit selain mempersoalkan kuantiti yang diterima.
MENARIK DIBACA: Abang kantin dipuji sedia makanan dengan penuh kasih sayang - "RMT paling cantik setakat ini"
MENARIK DIBACA: Jeli nanas bersalut kelapa, cuma guna 4 bahan terhasil manisan sedap dan segar
"Sotong empat ekor yang kami timbang dan bayar RM109 untuk sotong celup tepung sahaja.
"Tapi dapat macam hangit, kuantiti pun meragukan," katanya.
Tambahnya, sistem pesanan di kedai tersebut juga tidak begitu teratur kerana tiada nombor diberikan kepada pesanan pelanggan.
Sistem itu dikatakan mengelirukan pelanggan apabila makanan laut dipilih dan ditimbang terlebih dahulu sebelum pelanggan membuat bayaran.

Malah, pihak kedai sendiri didakwa tidak pasti hidangan tersebut milik pelanggan mana.
“Diaorang sendiri tak pasti pesanan pelanggan. Tak ada nombor pesanan diberikan.
"Dah la bayar ikut berat atau timbang, hujung-hujung tak tahu pelanggan punya pesanan," katanya.
Perkongsian itu turut mencetuskan perhatian pengguna media sosial, terutama mereka yang pernah makan di kedai yang dimaksudkan.

Ada komen yang ditinggalkan netizen mendakwa pernah menerima hidangan kerang yang telah busuk, selain makanan yang dijual tidak sedap.
"Saya pernah pergi, kerang dia rasa busuk. Saya buat aduan pada staf dan cabar mereka makan.
"Dulu pernah pergi, pelanggan tak ramai mana pun tapi servis lambat. Makanan yang dijual pun tak sedap!
"Saya baru je makan kat sini, order nasi ayam dan nasi goreng. Memang betul tak sedap rasa macam nasi putih biasa," antara komen netizen.