DBKL perkenal permit bulanan RM30, peniaga boleh letak kerusi meja di kaki lima tertakluk syarat
DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan tiga langkah penambahbaikan bagi memudahkan urusan peniaga di ibu negara, termasuk permit bulanan RM30 bagi setiap set meja dan kerusi makan yang ditempatkan di kawasan kaki lima.
Selain itu, turut diberi perhatian adalah mempermudahkan proses permit kerja kecil serta mempertimbangkan pembukaan semula premis yang diarahkan tutup atas faktor kebersihan untuk kembali dibuka seawal 24 jam selepas kerja pembersihan selesai dilakukan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata penambahbaikan itu terpakai kepada semua peniaga yang memenuhi syarat, tanpa mengira latar belakang atau jenis premis.

“Permohonan boleh dikemukakan di pejabat cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing dan akan dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian lokasi dan kelebaran kaki lima,” katanya dalam satu kenyataan media.
Bagaimanapun ujar Hannah, kelulusan tertakluk kepada syarat laluan pejalan kaki dan akses untuk pengguna kerusi roda serta operasi kecemasan tidak dihalang.
Peraturan terdahulu menetapkan pengusaha restoran dan kafe perlu membayar RM20 hingga RM50 sebulan bagi setiap meja dan kerusi, serta deposit keselamatan sehingga RM10,000, bergantung kepada bilangan meja.
Hanya perniagaan berlesen dengan permit diluluskan dibenarkan meletak meja dan kerusi di kawasan ditetapkan, tertakluk kepada had ketat dari segi saiz, penempatan serta waktu operasi.
MENARIK DIBACA: Perlahan-lahan hilang di pasaran, ini sebenarnya berlaku kepada sos 'legend' Aminah Hassan
MENARIK DIBACA: Insentif pembajakan RM300 pesawah dibayar secara berfasa - KPKM
Jelasnya, premis yang diarahkan tutup atas faktor kebersihan boleh dipertimbangkan untuk dibuka semula seawal 24 jam selepas langkah pembersihan menyeluruh dilaksanakan.
Tetapi katanya, pembukaan semula tertakluk kepada pemeriksaan dan pengesahan DBKL bahawa semua keperluan kebersihan serta keselamatan makanan telah memenuhi syarat ditetapkan.
Tiga penambahbaikan itu diperkenalkan selepas libat urus pejabatnya dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Fadlun Mak Ujud dan wakil Persatuan Pekedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur.
Tiga penambahbaikan ini sebahagian daripada usaha berterusan DBKL untuk memperkemas penyampaian perkhidmatan, mengurangkan proses tidak perlu dan mewujudkan persekitaran perniagaan lebih kondusif di Kuala Lumpur.