Kundur laku keras, jadi 'bantal' sejuk haiwan kesayangan ketika cuaca panas
SIAPA sangka kundur atau 'winter melon' yang biasa digunakan untuk masakan kini mempunyai fungsi baharu sebagai 'bantal' istimewa bertujuan untuk menyejukkan badan haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing.
Trend pelik tetapi 'comel' itu tercetus ketika beberapa kawasan di China dilanda gelombang cuaca panas sehingga menyebabkan haiwan peliharaan diancam bahaya.
Sebagai langkah melindungi haiwan kesayangan, timbul idea alternatif menggunakan kundur atau turut dikenali labu putih sebagai 'bantal penyejuk' yang mencetuskan fenomena dalam kalangan pemilik haiwan di negara itu.

Memetik laporan Global Times, idea menjadikan kundur sebagai 'bantal' tercetus selepas mereka mendapati ia mampu kekal sejuk untuk tempoh lama, sekali gus membuatkan kucing dan anjing kesayangan boleh berehat dengan selesa di atasnya.
Bukan itu sahaja, cara itu juga dikatakan jauh lebih murah dan menjimatkan.
Sejak diperkenalkan, kaedah ini tular terutama dalam platform Xiaohongshu apabila pengguna berkongsi gambar haiwan kesayangan mereka tidur sambil memeluk atau baring di atas kundur.
Kelihatan kucing dan anjing yang diberikan kundur sebagai bantal nampak begitu selesa, malah ada antaranya tidur begitu nyenyak.
MENARIK DIBACA: Biskut Oreo biasanya manis, kini tampil dengan krim ayam goreng KFC pula!
MENARIK DIBACA: Buat baja organik guna sisa ikan bilis! Tanaman subur, tomato dan cili 'meriah' di pokok
Bukan sahaja kucing dan anjing, trend tidur di atas kundur turut digunakan ke atas seekor harimau bernama Hong Tang di Zoo Shanghai bertujuan membantu menyejukkan badannya ketika cuaca panas.
Melihat perkembangan trend tersebut, beberapa platform jualan atas talian di China seperti Hema (Freshippo) dn Dingdong Maicai mula menjual winter melon dengan saiz lebih kecil mengikut kesesuaian haiwan pada harga 6.99 yuan (RM4.23) sekilogram.
Malah, bekalan winter melon di beberapa lokasi juga mula kehabisan stok apabila berlaku peningkatan permintaan sehingga 59 peratus berbanding sebelumnya.
Keistimewaan kundur:
Kandungan air tinggi: Kundur mengandungi hampir 95 peratus air, memberikan rasa sejuk semula jadi pada permukaannya apabila disentuh.
Kapasiti haba yang baik: Air menyerap haba secara perlahan, membolehkan kundur kekal sejuk untuk jangka masa lama tanpa perlu disimpan di dalam peti sejuk.
Selesa dan selamat: Tidak seperti ais yang terlalu sejuk atau kusyen ais plastik yang berisiko digigit sehingga rosak, kundur menawarkan penyejukan yang perlahan, stabil dan mesra haiwan.