Cara buat roti canai lembut, berlapis macam di kedai... Jangan silap pilih tepung
NAK dapatkan roti canai dengan tekstur yang lembut, gebu dan berlapis seperti di kedai bukanlah sesuatu yang mudah.
Jangan risau, anda boleh cuba buat sendiri roti canai di rumah menggunakan resipi perkongsian @xerofittter di laman Threads.
Rahsianya terletak pada penggunaan tepung tinggi protein yang membantu menghasilkan tekstur roti canai yang lembut dan kenyal.
"Akhirnya saya 'master' cara buat roti canai. Nanti saya tengok saja roti canai dekat supermarket tu. Jimat duit suami.
"Resipi ini 'confirm' roti canai gebu gebas dan lembut macam makan 'sponge'," katanya.

Bahan-bahan
- 500 gram tepung tinggi protein
- 1 sudu kecil garam
- 1 sudu besar gula
- 1 biji telur
- 2 sudu besar susu pekat manis
- 250 hingga 280 mililiter air suam
- 2 sudu besar marjerin yang dicairkan
- Minyak bunga matahari secukupnya
MENARIK DIBACA: Doh sama tapi hasil berlainan! Penebar roti canai dedah beza bentuk bulat, petak
MENARIK DIBACA: Wanita ajar cara buat roti canai lembut, anak lebih berselera berbanding makan di kedai
Cara penyediaan
- Campurkan tepung, garam dan gula. Masukkan telur, susu pekat manis, marjerin cair dan air suam sedikit demi sedikit. Uli sehingga menjadi doh yang lembut dan elastik.
- Bahagikan doh kepada bebola kecil, salut dengan minyak bunga matahari dan rehatkan selama beberapa jam.
- Tarik doh sehingga nipis dan lebar, kemudian potong secara menegak menggunakan pemotong piza untuk menghasilkan jalur-jalur nipis.
- Susun beberapa jalur doh, lipat secara berlapis dan tekan menggunakan tangan sehingga leper.
- Lebarkan doh mengikut saiz yang diinginkan, kemudian goreng di atas kuali panas sehingga kedua-dua belah masak keemasan.
- Angkat dan tepuk perlahan-lahan roti canai untuk menghasilkan tekstur yang gebu dan berlapis.