Doh sama tapi hasil berlainan! Penebar roti canai dedah beza bentuk bulat, petak
ROTI canai adalah menu tempatan yang digemari bukan sahaja rakyat Malaysia, tetapi juga pelancong asing yang berkunjung ke negara ini.
Pasti anda perasan terdapat dua bentuk roti canai yang sering kita lihat di kedai mamak atau warung iaitu jenis petak dan bulat.
Bagi pelanggan yang tidak tahu, mereka akan menganggap perbezaan roti canai itu hanyalah bentuknya sahaja dengan rasa dan teksturnya tetap sama.

Hakikatnya, kedua-dua roti canai itu memiliki perbezaan bermula dengan teknik penyediaan sehingga mempengaruhi tekstur dan rasanya.
Perkara tersebut dikongsikan oleh pemilik kedai makan Warung Jiwa dikenali sebagai Hamizan berdasarkan pengalamannya sebagai seorang penebar roti canai.
"Roti canai kosong bentuk petak dan bulat.
"Doh yang sama, teknik berbeza.
"Saya harap dapat memberi sedikit manfaat buat penggemar roti canai," tulisnya di media sosial.
MENARIK DIBACA: [V] Amir Nafis 'hantu telur', sedar-sedar diejek gemuk! Masuk sekolah menengah kurus, 'handsome' semula
MENARIK DIBACA: Murid darjah 1 'kantoi' curi makanan cikgu! Bukan untuk makan, tapi jual kepada kawan - "Sedih tengok budak sekarang"
Menurutnya, asas penyediaan roti canai petak dan bulat tidak berbeza kerana kedua-duanya menggunakan doh yang sama.
Tetapi cara melipat, membentuk serta tempoh merehatkan doh selepas ditebar menjadi faktor utama yang menghasilkan tekstur berbeza pada setiap jenis roti canai.
Kongsi Hamizan, roti canai berbentuk petak merupakan jenis yang paling biasa ditemui di kebanyakan kedai makan.
Saiznya lebih besar, nipis dan ringan apabila dimakan, selain teksturnya juga lebih rangup terutama pada bahagian luar serta lapisannya tidak begitu kompleks berbanding roti canai bulat.

Berbeza pula dengan roti canai bulat yang biasanya mempunyai saiz sedikit kecil selain kulitnya lebih tebal dan mempunyai lapisan yang lebih jelas.
Apabila dikoyakkan, bahagian dalamnya boleh memperlihatkan sekitar lima hingga lapan lapisan yang menjadikannya lebih gebu dan lembut ketika dimakan.
Tekstur berlapis inilah yang sering menjadi kegemaran peminat roti canai kerana lebih kaya rasa serta kenyal pada setiap suapan.
Menurut perkongsian tersebut, salah satu sebab roti canai bulat kurang dijual kerana proses penyediaannya lebih mengambil masa disebabkan doh yang telah dibentuk perlu direhatkan selama tiga hingga lima minit sebelum dimasak di atas kuali leper.
Tempoh rehat ini penting untuk membolehkan lapisan doh terbentuk dengan baik, sekali gus menghasilkan tekstur lembut dan berlapis yang menjadi keistimewaan roti canai bulat.