Simpan durian 'frozen' dalam bekas banyak kelemahan, teknik balut lebih tahan lama
RAMAI sanggup beratur panjang semata-mata mahu mendapatkan durian apabila musim 'raja buah' tiba.
Tidak kurang juga yang gelap mata membeli dalam kuantiti banyak gara-gara harganya jatuh menjunam pada musim kali ini.
Akibatnya, durian yang dibeli tidak dapat dihabiskan dalam satu masa.
Bagi mengelakkan isi durian rosak disimpan lama atau terpaksa dibuang, ramai memilih untuk menyimpannya di dalam peti sejuk beku.
Bagaimanapun kaedah penyimpanan yang kurang tepat boleh menyebabkan kualitinya merosot dengan lebih cepat.
Seorang wanita dikenali sebagai Qniiiss di TikTok berkongsi cara mudah menyimpan durian supaya tahan lebih lama tanpa menjejaskan rasa dan teksturnya.
Dia tidak menggalakkan isi durian disimpan dalam satu bekas besar seperti mana dibuat ramai individu.
Sebaliknya ia diasingkan kepada beberapa bahagian kecil yang mengandungi tiga hingga empat ulas durian sebelum dibalut menggunakan plastik pembungkus makanan.

"Cara simpan durian dalam freezer iaitu bungkus plastik dan bekukan.
"Peminat durian yang mahu simpan durian lama boleh ikut cara praktikal ini dengan balut tiga hingga empat ulas durian menggunakan plastik wrap lalu bekukan. Kaedah ini memudahkan ambil sedikit tanpa perlu defrost keseluruhan bekas," tulisnya.
Jelasnya, kaedah membungkus isi durian secara berasingan membantu mengurangkan pendedahan buah kepada udara serta mengelakkan pembekuan berlebihan dan menghalang bau durian daripada merebak kepada makanan lain di dalam peti sejuk beku.
Selain itu, pembahagian kepada bungkusan kecil membolehkan pengguna mengambil kuantiti yang diperlukan sahaja setiap kali ingin menikmatinya sekali gus mengurangkan pembaziran.
Kaedah ini juga membantu mengekalkan tekstur dan rasa durian sama ada untuk dimakan begitu sahaja atau dijadikan bahan masakan seperti kek durian dan tempoyak.
MENARIK DIBACA: Murid darjah 1 'kantoi' curi makanan cikgu! Bukan untuk makan, tapi jual kepada kawan - "Sedih tengok budak sekarang"
MENARIK DIBACA: Beli Musang King RM400, dapat isi hancur! Penjual 'refund' RM200 tapi tak ikhlas, mengaku 'tak halalkan'
Cara penyimpanan:
- Sediakan plastik pembungkus makanan yang bersih dan selamat digunakan untuk makanan.
- Bahagikan lebihan ulas durian kepada beberapa bahagian dengan setiap bekas mengandungi tiga hingga empat ulas.
- Balut setiap bahagian dengan kemas menggunakan plastik wrap sehingga kedap udara.
- Labelkan setiap bungkusan dengan tarikh penyimpanan jika ingin disimpan dalam peti sejuk beku untuk tempoh yang lama.
- Susun bungkusan di atas rak yang rata dan stabil di dalam peti sejuk beku.
- Apabila ingin makan, ambil satu bungkusan dan biarkan pada suhu bilik selama beberapa minit. Tidak perlu dinyahbekukan sepenuhnya, cukup sehingga isi durian mudah dipisahkan dan dinikmati.
- Untuk kegunaan memasak seperti kek durian atau tempoyak, gunakan terus isi durian yang masih beku mengikut keperluan resipi.