Beli Musang King RM400, dapat isi hancur! Penjual 'refund' RM200 tapi tak ikhlas, mengaku 'tak halalkan'
SEORANG wanita berkongsi kisah sepupunya yang didakwa membeli durian Musang King pada harga RM400 tetapi isinya hancur walaupun telah meminta agar ia diletakkan di dalam bekas dan dibungkus rapi.
Menurutnya, perkongsian kisah ini di media sosial bukan bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak sebaliknya mahu memberi peringatan tentang kepentingan pembungkusan makanan khususnya yang mudah rosak.
"Bukan nak kecam atau cancel sesiapa, cuma nak bagi kesedaran je.
"Sepupu saya order durian Musang King bernilai RM400 dan siap minta bungkus elok dalam bekas yang selamat tapi bila sampai keadaannya macam dalam gambar.
"Seller ada refund RM200 tapi cakap kerosakan tu salah rider penghantaran dan refund tu diberi sebab terpaksa serta tak dihalalkan.
"Tak kisahlah salah seller atau pihak courier, sebagai pelanggan kita tak sepatutnya yang kena tanggung kerugian macam ni," katanya, kesal.
Susulan kejadian ini dia berharap perkongsiannya dapat menjadi peringatan kepada para peniaga supaya memastikan makanan mudah rosak dibungkus sempurna sebelum diserahkan kepada pihak yang akan membuat penghantaran.

"Harapnya benda ni boleh jadi peringatan untuk semua peniaga supaya pastikan makanan mudah rosak dibungkus dengan betul sebelum diserahkan kepada rider.
"Untuk elakkan seller kena kecam atau reputasi terjejas, saya takkan dedahkan nama atau maklumat seller di ruangan komen. Kalau ada yang nak tahu boleh DM (mesej) saya," katanya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mempertikaikan bukan sahaja kaedah pembungkusan malah kualiti durian yang diterima.
"Macam durian frozen. Proses nyahbekunya mungkin tidak dilakukan dengan betul.
MENARIK DIBACA: Titik terendah pelanggan! Lepas 'mengemis' duit ibu nak beli nasi, rider letak pesanan di tong sampah
MENARIK DIBACA: Cara mudah simpan cili, sayur agar kekal segar... Lebih sebulan masih masih elok
"Ini bukan soal pembungkusan semata-mata. Kualiti durian itu memang nampak tak elok. Mungkin pembeli menerima durian yang nilainya tidak setanding dengan harga dibayar.
"Tak ni bukan salah pembungkusan dan bukan juga salah rider. Saya yakin durian yang diberikan memang sudah tidak elok," antara komen netizen.
Seorang lagi individu berpendapat bekas pembungkusan menggunakan material terlalu nipis dan tidak sesuai dengan nilai produk.

"Ini antara pembungkusan paling lemah yang pernah saya tengok. Kalau jual produk bernilai RM400 sekurang-kurangnya gunakan pembungkusan yang lebih kukuh," tulisnya.
Ada juga yang mendakwa tekstur isi durian menunjukkan ia bukan lagi dalam keadaan segar.
"Walaupun pembungkusannya lemah, tekstur isi durian itu nampak sangat tak ada kualiti. Isinya lembik dan berair macam tempoyak. Musang King yang segar biasanya pejal dan walaupun sedikit penyek rupanya tidak akan jadi seteruk ini," katanya.
Sebahagian lagi netizen berkongsi pengalaman membeli Musang King secara dalam talian menggunakan khidmat penghantaran.
"Saya selalu beli Musang King secara online dan dihantar menggunakan kurier sama tetapi semuanya sampai dalam keadaan baik. Kalau tengok ni saya rasa bukan isu pembungkusan sahaja tapi durian itu sendiri kelihatan lembik dan berair.
"Musang King segar sepatutnya kering pada bahagian luar dan isinya pejal. Mungkin durian itu sudah rosak atau sebenarnya durian frozen. Dengan harga RM400 memang tidak berbaloi dan kalau RM200 pun saya rasa tidak berbaloi dengan keadaan macam tu.
"Kalau saya yang terima macam ini pun memang boleh naik angin. Orang beli sampai RM400 tetapi pembungkusannya begini. Saya pernah beli durian lebih RM100 secara penghantaran, penjual siap bungkus cantik dan kedap. Memang tak patut kalau pelanggan terima keadaan seperti ini," komen netizen lagi.