Nak mohon sijil halal tak boleh suka hati letak nama menu, ada garis panduan perlu ikut
RAMAI beranggapan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya berkaitan aspek penyembelihan, kebersihan premis serta keselamatan makanan mengikut syarak semata-mata.
Hakikatnya, pensijilan halal merangkumi pelbagai aspek termasuk penggunaan nama produk dan hidangan yang ditawarkan kepada pelanggan.
Menurut perkongsian @farisramly di laman Threads, pengusaha kafe yang ingin memohon sijil halal tidak boleh sewenang-wenangnya menamakan menu mereka sebaliknya perlu mengambil kira garis panduan yang ditetapkan.
Katanya terdapat beberapa istilah tertentu yang perlu dielakkan dan mungkin perlu ditukar sebelum permohonan sijil halal diluluskan.

"Baru tahu bila nak mohon halal untuk premis kafe, nama-nama menu seperti berikut perlu ditukar.
"Contohnya: Dirty, Heavenly, Paradise, Devil dan sebagainya. Dirty Latte, Mango Paradise Cake, Devil's Food Cake, memang tak boleh," tulisnya.
Perkongsian itu mencuri perhatian ramai dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya menyokong garis panduan tersebut.
MENARIK DIBACA: Staf buat hal, sijil halal Mita Cake House untuk satu premis digantung
MENARIK DIBACA: Gelabah dulu, periksa info kemudian! Wanita hampir buang stok biskut sah ada sijil halal
Menurut seorang pengguna media sosial, penetapan syarat berkenaan bertujuan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna Islam selain memastikan penggunaan nama yang lebih sesuai.
"Tujuan Jakim selaraskan polisi sebegini adalah supaya pihak luar tidak sewenang-wenangnya meletakkan nama yang kurang sesuai sehingga boleh mengelirukan orang ramai.
"Elak keliru, bagi nama yang baik. Islam pun ajar kita letak nama anak baik-baik dan bercakap dengan perkataan yang baik. Ada adabnya," katanya.
Dalam pada itu, ada yang memaklumkan sesetengah istilah dibenarkan asalkan dipadakan dengan jenis protein yang halal,

"Carbonara saja pun tak boleh, kena 'mention' protein halal. Contoh, chicken carbonara dan beef sausages," ujarnya.
Untuk rekod, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) menetapkan bahawa nama syarikat, produk dan menu tidak boleh merujuk kepada perbahasan tidak halal, sinonim dengan produk tidak halal atau menggunakan istilah yang boleh mengelirukan pengguna.
Antara contoh istilah yang disenaraikan dalam garis panduan halal termasuk nama yang mempunyai kaitan dengan minuman beralkohol seperti beer, whisky, brandy, mojito dan champagne, selain nama makanan yang sinonim dengan produk tidak halal seperti bacon, ham, char siew serta bak kut teh.