Rahsia di sebalik pembuatan sosej, nuget dan 'patty' burger - "Patutlah rasa tulang halus"
PERNAH tak ketika anda menikmati sosej atau 'patty' (kepingan daging) burger, tiba-tiba terasa seperti ada cebisan kecil yang keras, seakan-akan serpihan tulang?
Ramai menganggap produk-produk ini dihasilkan sepenuhnya daripada isi daging lembut semata-mata, namun tanggapan itu sebenarnya kurang tepat.
Rupanya, ia berlaku kerana proses penghasilan sosej atau 'patty' melibatkan penggunaan bahan yang dikenali sebagai daging kisar mekanikal atau MDM (Mechanically Deboned Meat).
Menurut perkongsian seorang pengguna Threads iaitu @balqishrahman, MDM dihasilkan melalui proses khas yang melibatkan tulang yang masih mempunyai sisa isi daging.

“Ya betul, sosej menggunakan MDM iaitu 'Mechanically Deboned Meat' yang memang diperbuat daripada tulang yang masih mempunyai sisa daging.
“Tulang ini akan diproses menggunakan mesin khas untuk menghancurkan sisa daging yang masih melekat padanya sehingga menjadi pes yang sangat halus,” katanya.
Proses ini membolehkan sisa daging yang masih ada pada tulang dimanfaatkan sepenuhnya bagi menghasilkan produk makanan seperti sosej, nuget dan burger proses.
MENARIK DIBACA: Bahaya anak gemar makan sosej, kandungan 2 bahan kimia ini boleh jejas kesihatan
MENARIK DIBACA: Asalnya gurauan hasil AI, ‘selipar Jepun’ goreng kini jadi kegilaan
Dalam pada itu, bagi pengeluar makanan yang mempunyai pensijilan halal, sumber tulang yang digunakan mestilah datang daripada bahan yang telah disahkan halal dan melalui proses penyembelihan serta pengendalian yang mematuhi garis panduan syariah.
“Ada MDM yang halal dan ada juga yang tidak halal, bergantung kepada sumber serta proses pengeluarannya.
“Jika sesuatu produk mempunyai sijil halal, pengguna tidak perlu risau kerana bahan mentah dan ramuan yang digunakan telah dipastikan halal serta mematuhi piawaian keselamatan makanan dan pematuhan syariah,” jelasnya.

Bagaimanapun, wanita itu turut mengingatkan bahawa makanan yang diproses bukan 100 peratus daging segar tidak wajar diambil secara berlebihan kerana ia boleh mengundang risiko kesihatan.
“Makanan seperti sosej, nuget dan burger bukan 100 peratus daging segar tidak digalakkan diambil terlalu kerap kerana ia merupakan makanan diproses.
“Jangan terus membuat andaian ia tidak halal. Sebaliknya, semua produk yang mendapat pensijilan halal telah melalui semakan bahan mentah dan ramuan yang ketat,” tambahnya.