Ramai pelancong pergi tonton Piala Dunia di AS makan tak beri tip, restoran 'auto' caj pelanggan
BUDAYA memberikan tip sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat di Amerika Syarikat (AS), tetapi amalan itu masih asing bagi pelancong dari kebanyakan negara lain.
Selepas dua minggu Piala Dunia FIFA 2026 berlangsung, ramai pemilik restoran mendakwa berdepan situasi pelanggan, khususnya pelancong asing tidak meninggalkan tip selepas menikmati hidangan.
Susulan itu, sebahagian restoran mengambil langkah mengenakan caj tip secara automatik dalam bil pelanggan bagi mengelakkan perkeja mereka hilang pendapatan.
Memetik laporan Dexerto, beberapa pekerja restoran di New York mengakui jumlah tip yang diterima sepanjang kejohanan itu jauh lebih rendah berbanding kebiasaan.

"Mereka memang datang untuk makan, tetapi pengalaman kali ini terasa berbeza kerana hampir tidak ada yang memberikan tip seperti biasanya.
"Jelas sekali mereka tidak memberi tip seperti pelanggan pada umumnya," kata seorang pekerja restoran.
Disebabkan situasi ini terdapat restoran mula memasukkan caj tip sebanyak 20 peratus secara automatik ke dalam bil, khususnya bagi pelancong asing.
Malah, ada premis yang mengambil inisiatif meletakkan notis khas atau menerangkan sendiri kepada pelancong asing bahawa budaya memberi tip merupakan amalan biasa di AS.
MENARIK DIBACA: Cabaran besar urus makanan di Piala Dunia FIFA 2026
MENARIK DIBACA: Piala Dunia 2026: Sebelum sepak mula, penyokong berpesta 'tailgate' di luar stadium
Bagaimanapun, ada juga pengusaha yang tidak terlalu memperbesarkan perkara itu kerana nilai perbelanjaan pelancong sepanjang kejohanan tetap tinggi dan memberi keuntungan kepada perniagaan mereka.
Sekadar info, amalan memberi tip di AS dipraktikkan sejak 1870-an kerana pekerja restoran biasanya menerima gaji asas yang lebih rendah berbanding pekerja lain.
Tip adalah sebahagian daripada pendapatan mereka dan digunakan untuk menampung kos sara hidup dan perbelanjaan harian.
Justeru pelanggan kebiasaannya memberikan sekitar 15 hingga 20 peratus daripada jumlah bil sebagai tanda menghargai layanan yang diterima.