Murid darjah 1 'kantoi' curi makanan cikgu! Bukan untuk makan, tapi jual kepada kawan - "Sedih tengok budak sekarang"
PERSEKITARAN sekolah sepatutnya menjadi tempat terbaik untuk membentuk sahsiah dan nilai murni dalam diri kanak-kanak.
Perkongsian tular di laman Threads mengenai tindakan murid yang didakwa mencuri makanan milik guru mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Menurut pemilik akaun berkenaan, beberapa makanan milik guru dilaporkan hilang sejak kebelakangan ini sebelum siasatan mendapati perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh seorang murid darjah satu.
Lebih mengejutkan, murid terbabit dikatakan bukan sahaja mengambil makanan tersebut malah menjualnya semula kepada rakan-rakan.
"Gila- gila berani eh budak zaman sekarang. Tahu tak 'lately' ni sekolah saya kecoh barang cikgu banyak hilang dan yang hilang tu kebanyakan makanan tau.

"Biasalah cikgu-cikgu kadang bawa biskut, 'jajan' begitu kadang nak bagi ganjaran pada budak ataupun nak buat kudap-kudap kan.
"Siasat punya siasat rupanya kantoi ada budak darjah satu tau ambil makanan cikgu tu, dah la ambil semua! Lepas tu dia pergi jual kat kawan dia.Tahu tak budak tu ambil apa? Nutella biskut tu, dia jual satu pek RM5 kat kawan dia.
"Sedih la tengok budak sekarang nak jadi apa anak-anakku," luahnya, kecewa.
MENARIK DIBACA: Titik terendah pelanggan! Lepas 'mengemis' duit ibu nak beli nasi, rider letak pesanan di tong sampah
MENARIK DIBACA: Banyak tip di internet, netizen kongsi petua ibu dipegang sampai hari ini... Masakan jadi lebih enak
Perkongsian itu mengundang perhatian warga maya yang turut berkongsi pengalaman berdepan kejadian hampir sama di sekolah masing-masing.
Ada yang mendedahkan kejadian kehilangan makanan bukanlah sesuatu yang baharu malah pernah berlaku sejak bertahun-tahun lalu.
"Dulu pun pernah jadi 16 tahun lalu. Karipap hilang ada budak ambil dan makan, bila siasat budak India yang ambil dan lagi teruk karipap tu karipap daging terdiam masing-masing. Itula nak ambil tak tanya dulu.

"Beberapa tahun lalu, budak-budak kantoi masuk bilik guru malam-malam ambil makanan dekat pantri. Sekolah rendah ya, sekolah ada asrama lewat malam. Dulu takut aih nak keluar malam. Takut hantu.
"Zaman sekolah menengah ada orang curi nasi ayam saya. Dah la mak beli sebagai bekal pergi sekolah. Aku hairanlah letak bawah meja lepas tu lesap, kenapa nak curi makanan orang," antara komen warganet.
Dalam pada itu, terdapat netizen berpendapat perbuatan sedemikian mungkin berpunca daripada faktor masalah kewangan keluarga yang menyebabkan ada murid tidak mempunyai wang belanja mencukupi.
"Biasa macam ni mesti ibu bapa bagi duit belanja tak cukup atau tak bagi langsung, semoga anakku dijauhkan dengan benda-benda macam ni," komennya.
Sementara itu, ada juga warganet mendakwa pernah berlaku kes lebih serius membabitkan kehilangan barangan elektronik milik guru.
"Makanan je? Sekolah saya lagi 'best' . Tahun 2011 ada budak kelas sebelah dan perempuan curi 'tab' dan laptop cikgu yang ada kat atas meja di bilik guru. Dia jual barang-barang tu dan hasil jual dia beli telefon," komen seorang netizen.