Ayam cemani tak hanya unik pada warna, tapi juga khasiatnya
AYAM hitam yang juga dikenali sebagai ayam selasih atau ayam cemani mempunyai keunikan tersendiri berbanding ayam biasa kerana kulit, daging dan tulangnya berwarna gelap.
Warna hitam ini wujud disebabkan faktor genetik yang dikenali sebagai 'fibromelanosis', iaitu keadaan apabila pigmen melanin terkumpul dalam tisu badan sehingga menghasilkan warna lebih gelap.
Selain penampilannya yang unik, ayam hitam turut menjadi pilihan dalam masakan tradisional, khususnya sup herba yang popular dalam kalangan masyarakat Cina.

Ayam ini juga mengandungi protein, vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh malah kandungannya juga dikatakan melebihi nutrisi pada ayam biasa.
Maka, tidak hairanlah apabila ayam hitam memiliki nilai pasaran yang agak tinggi apabila harganya mampu mencecah antara RM50 hingga RM150 seekor mengikut gred.
Jadi, apakah keistimewaan ayam hitam berbanding ayam biasa? Berikut merupakan beberapa kelebihan ayam hitam yang menarik untuk diketahui.
1. Membina dan membaiki tisu badan
Daging ayam hitam membekalkan protein yang penting untuk pembentukan dan pembaikan tisu termasuk otot, kulit serta organ badan.
Selain itu, kandungan protein ayam hitam turut menghasilkan enzim untuk menyokong sistem imun.

2. Kaya antioksidan
Antara perkara yang menarik perhatian penyelidik ialah kandungan peptida bioaktif seperti karnosin dan anserin dalam daging ayam hitam.
Kedua-dua sebatian ini berpotensi membantu melindungi sel daripada tekanan oksidatif.
Ayam hitam juga mempunyai kandungan melanin yang tinggi pada tisu tertentu.
MENARIK DIBACA: Kulat buah khazanah alam Sarawak... Warna oren, rasa manis beza dengan cendawan lain
MENARIK DIBACA: Sukar tinggal 'craving' manis? Shakilla Khoriri bagi tip mudah, netizen pun kongsi amalan
3. Membantu pembentukan darah
Zat besi merupakan mineral penting yang diperlukan untuk menghasilkan hemoglobin, iaitu protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan.
Pengambilan zat besi yang mencukupi membantu tubuh menjalankan fungsi normal dan mengurangkan risiko anemia akibat kekurangan zat besi.
Daging ayam hitam boleh menyumbang kepada pengambilan mineral ini, selain membekalkan nutrien lain seperti fosforus, zink dan selenium yang diperlukan untuk fungsi sel, metabolisme serta sistem pertahanan badan.

4. Membekalkan vitamin B untuk metabolisme
Ayam membekalkan sumber vitamin B, termasuk vitamin B6 dan B12.
Vitamin B6 membantu tubuh memproses protein serta menyokong fungsi sistem saraf.
Vitamin B12 pula diperlukan untuk pembentukan sel darah merah dan mengekalkan fungsi saraf yang normal.
5. Khasiat tradisional
Sering dijadikan makanan untuk tujuan perubatan tradisional terutama oleh masyarakat Cina kerana mereka percaya akan kelebihan khasiat ayam hitam.
Daging ayam hitam bukan sahaja dipercayai mampu memberikan tenaga dalaman untuk wanita bersalin, bahkan juga dikatakan baik untuk menjaga kecantikan kulit.